Friday 28 August 2009

WAKTU YANG SYAHDU MERENUNG KE DALAM ROHANI

Tentulah tak ada waktu yang lebih syahdu dan hening daripada Ramadan untuk kita menyorot kembali ke dalam pengembaraan perjalanan hidup dengan pelbagai kisah pengalaman suka dukanya. Meskipun puasa sepanjang bulan ini suatu kewajipan yang dituntut oleh Tuhan, tetapi kata seorang sahabat saya , "Tok guru sufi berpesan: Ibadat itu nikmat bila engkau tahu Allah mencintaimu; ibadat itu penat bila engkau tahu Allah memerintahmu. "

Sungguh walaupun diperintah, kita tetap merasa nikmat mengerjakannya mengingat betapa banyaknya rahmat yang telah diberi, dan ganjaran yang akan dianugerahkn berlipat ganda kepada umatnya. Pintu syurga ar-Rayan akan terbuka bagi sesiapa yang berpuasa dengan ikhlas dan jujur. Kalau pada hari lain terasa berat berulang ke tempat solat, tetapi Ramadan meringankan langkah-langkah di bawah suara azan yang menembusi fajar.

JALAN SUBUH KE SURAU KAMI

Subuh itu gerimis
berguguran lembut
dalam temaram.

Kami berjalan perlahan
bermandi gerimis Ramadan
dalam hening disapa azan.

Terasa aman
dan, Amin.

Sunday 23 August 2009

BULAN YANG PUTIH

Sewaktu engkau datang, Ramadan
terdengar gema guruh yang jauh
meskipun hitam, kelam di sekeliling
terhampar sudah lembaran sejarah putih:
turunnya Zabur, Taurat dan Injil
turunnya al-Quran pada malam kebaikan
seribu bulan berhimpun
pada malam yang mewah dengan cinta_Nya,
dengan rahmat, keampunan dan kebebasan dosa-dosa.

Tuhan, terimalah penyerahanku dalam linangan air mata
berpuluh tahun aku mengembara mengejar cahaya fatamorgana
semakin kukejar, semakin jauh jaraknya
semakin banyak yang terhimpun, semakin miskin rasanya
apakah ini rahasia kebesaran-Mu
atau kesesatan liku-liku hidup di dunia?

Kini aku ingin kembali ke fitrah jalanku
berbimbing tangan para anbia dan aulia
di bawah cahaya bulan yang putih
dalam bayang-bayang-Mu.


1 Ramadan 1430 Sabtu 22 Ogos 2009

Friday 14 August 2009

Pada Hujung Waktu

Terasa waktu memburuku
mengajak mengisi detik-detik yang melaju
aku seolah-olah tak berdaya
melangkah di jalan-jalan berdebu.

Apa yang hendak kukesalkan lagi
zaman muda sudah berlalu
itu bahagian daripada kita
sekali datang, sekali pergi
dalam jaga, dalam mimpi.

Kenangan kini menjadi
bahagian daripada sejarah kita,
kenyataan kini menjadi
bahagian daripada wajah kita.



Baha Zain

Monday 10 August 2009

DAYANA ? Makna Sebuah Puisi

Majalah Dewan Sastera Ogos, membawa sebuah puisi dalam ruangan bulanan saya. Sewaktu bertemu pelukis/penyair Daeng Ramli Akil , pada malam Baca Puisi di Rumah Pena , Jumaat malam yang lalu, beliau menyebut tentang puisi itu. Saya tak pasti apa sebenarnya yang disebutnya kerana pada saat yang sama ada puisi sedang diperdengarkan kepada khalayak yang hadir .

Apakah makna sebuah puisi ? Itulah yang sering ditanyakan. Berbeza daripada misalnya memakan sebuah delima , orang tidak bertanyakan makna, tetapi menikmati manisnya. Tidak cukup kah dengan muzik bahasa yang terasa, dan imej yang ditanggapi sewaktu membacanya, sebuah puisi diterima seadanya , tanpa mengetahui maknanya? Di situlah juga terpendamnya rahasia puisi: menemukan keharuan membaca dengan keinginan untuk mengetahui maknanya.
Kedua-dua aspek tersebut menyatu secara utuh bagi sebuah puisi yang menjadi--yang diistilahkan oleh teoritikus seni sebagai suatu konfigurasi atau gestalt kata pengkritik yang mahu menampakkan lebih canggih lagi ilmunya.

"Dayana" diilhamkan oleh Dayana, seorang gadis yang cacat pendengaran, tetapi sangat sensitif
dan keras kemahuannya. Dia hanya berkomunikasi dengan bahasa isyarat atau melalui tulisan menurut gayanya kerana tidak boleh bertutur seperti kebanyakan kita. Hampir setiap minggu
saya menerima sms daripadanya bertanyakan kabar saya serta isteri.

Ada waktunya saya semacam menangis insaf di dalam hati mengenangkan betapa bernasib baiknya kita dianugerahkan Allah dengan kelebihan hidup: melihat, mendengar dan bertutur.

Ada kalanya saya terfikir juga bahawa Dayana terlindung daripada mendengar kata-kata cela, umpat, fitnah dan nista yang sering kita dengar sebagai orang biasa. Selama beberapa tahun kebelakangan ini saya sendiri tercampak ke dalam kedurjanaan mengkritik dan malah menuduh orang berkhianat terhadap bahasa Melayu yang dipinggirkan oleh PPSMI. Dayana barangkali tidak tahu pertikaian ini, dan bersih daripada dosa-dosa kebahasaan itu. Justeru itu saya kira dia lebih aman dan tak diminta untuk memperjuangkan bahasa yang tak pernah didengarnya , dan tak mampu diucapkannya.

Itulah intipati makna daripada puisi "Dayana"

Kini engkau sudah remaja
gadis yang hidup dalam kesepian
sepi, sesepi malam
terbuang daripada kebiasaan
di dunia itu, engkau bersendirian.

Engkau tidak mendengar merdu muzik
ah! betapa merdunya "Bengawan Solo"
betapa lunaknya suara Saloma
mendengdangkan "Selamat Hari Raya"
setiap hati ditimpa ceria.

Engkau termangu dalam diam
mentafsir dunia dengan sepasang mata
menilai dengan gerak hati
percaya pada naluri.

Barangkali engkau lebih bernasib baik
bersih daripada dosa
tidak mendengar fitnah atau cela
yang dibisikkan ke telinga.

Kalau engkau rindu
kalau engkau bersedih
engkau deritai sedalam-dalamnya
tiada siapa yang tahu betapa lukanya
betapa pedihnya.

Kerana engkau sepi
tanpa mendengar sebarang kata
tanpa bernyanyi dan berlagu
engkau tidak mungkin mendengar
cerita tentang bahasa yang terhina.

Dayana! engkau lebih mulia daripada kami
yang boleh bersuara, tetapi dayus dan tak berdaya.

Baha Zain