Wednesday 27 January 2010

KALAU SEPATU BOLEH BERSUARA MANUSIA MENDENGAR KEAJAIBAN DUNIA

kasut oh! kasut,
sejak bila kau dipanggil kasut,
dan sejak bila Malayia memakai kasut?

Ini adalah gambar yang sedikit aneh. Berpasang-pasang kasut disusun dan digambar secara terlanjang, tanpa pemakainya. Apakah yang diceritakan oleh gambar ini, dan apa tujuan penyusunnya? Setiap gambar namun mempunyai bahasanya; dan tidak sama dimengertikan oleh penontonnya.

Orang tahu hanya satu: kasut untuk menjadi lapik tapak kaki bagi tujuan memelihara kaki sewaktu berjalan. Kasut telah memperkembangkan falsafahnya lebih daripada hanya sekadar lapik tapak kaki. Kasut telah beratus-ratus tahun menjelma dalam pelbagai wajah di tengah ladang pertanian, di tengah hutan, di medan perang, di bilik kuliah universiti, di atas permaidani istana, di lantai-lantai parlimen, dan di atas lantai marmar gereja ( kecuali di lantai marmar masjid ). Kalau kasut boleh bercakap ia akan menceritakan pengalamannya masuk ke kamar-kamar pelacur, ke bilik-bilik judi, ke bilik tali gantung, ke bilik soal siasat rahsia, dan ke rumah-rumah gerakan pemberontak . Kasut-kasut di atas diam membisu dlm satu
bingkai gambar empat segi yang biasa. Gambar hitam putih atau berwarna selalu neutral dan tidak memihak , baik kepada subjek gambar mahupun kepada penatapnya. Gambar adalah sebuah pernyataan yang pendiam meskipun memendam
keajaiban.

Penatapnya barangkali seorang professor, mubaligh atau seorang kanak-kanak perempuan tadika. Sedarkah dia bahawa berapa ribuan lembu, kambing, ular dan buaya telah dibunuh dan digunakan kulitnya untuk mencipta kasut yang pelbagai fesyen? Pembunuhan ini menjadi perlu untuk memenuhi matlamat keuntungan industri, selera estetik manusia, dan memuaskan keghairahannya terhadap simbol status yang terhormat di mata masyarakat. Bolehkah kita anggap kejadian seperti ini sebagai kitar semula alam dalam gagasan teknologi hijau?

Apa yang saya beberkan di sini sekilas pandang sebagai remeh saja. Betulkah begitu? Mungkin juga betul. Tidak ! setiap gambar ada bahasa anggotanya atau body language tersendiri. Ada makna budayanya , dan marilah kita cari pengertian dan pertalian budaya itu kerana setiap hari siang dan malam kita diperguk ( mahu tidak mahu) oleh gambaran-gambaran, imej dan citra di dalam dan di luar rumah. Kita sedang dikepung oleh bayangan, maya dan gambaran dan boleh luluh di dalam dakapannya yang mengasyikkan.

Tentulah saudara sendiri seronok melihat wajah dan peribadi anda di dalam gambar , terutama kalau terbit di akhbar atau majalah;tidak kira sama ada akhbar atau majalah itu akhirnya akan sampai kepada hujung hayatnya menjadi pembungkus barang jualan seludup di lorong belakang Jalan Chow Kit atau Petaling Street.

Tuesday 12 January 2010

sebuah gambar adalah sejumlah kisah

Apakah yang kau fikirkan tentang alam dan kehidupan ?



Gambar boleh tiba-tiba menghantar kita ke zaman kanak-kanak puluhan tahun dahulu --pengalaman yang tak mempersoalkan derita ,dosa, kesepian dan kegetiran hidup. Lihat menungannya seperti jauh tak bertepi, hanya ditemani longgokan batu keras seolah-olah batu itu lebih dipercayai sebagai teman yang setia dan selamat . Apakah yang difikirkannya; dan apakah yang diharapkannya ? Apakah dia berfikir seperti kita berfikir dan mengharapkan sesuatu seperti kita berharapkan sesuatu pada masa depan. Dia tidak disusahkan oleh keinginan masa depan, dia lebih realistik terhadap keperluannya . Hanya sahaja dia beristirihat sebentar kerana istirihat itu adalah kemewahan dan kebahagian yang benar-benar menyenangkannya. Dia tidak rungsing dalam waktu termenung dan diam . Tidak seperti manusia dewasanya yang tak pernah berperasaan aman meskipun dalam diam di tengah-tengah alam hijau yang tenang.

Ini adalah wajah yang tak mungkin kita miliki lagi baik secara jasmaniah mahupun secara rohaniah. Ini adalah wajah kehidupan yang telah lama meninggalkan kita kerana kita telah meninggalkannya di belakang. Lihat tangan dan jari-jarinya yang terletak akrab dan relaks di atas batu keras yang berusia entah berapa jutaan tahun lamanya- sebuah kejadian alam yang demikian panjang sejarahnya yang didakap mesra seorang anak kecil yang hanya baru dua tahun usianya. Dia tidak mengetahuinya kerana fikirannya dan perasannya tidak dibebankan untuk memikirkan keadaan alam serta kehidupan rumit di sekelilingnya. Masalah itu adalah masalah kita yang seolah-olah terhantar menyelesaikan kemelut rumit dunia ini.

Monday 4 January 2010

F A J A R S I D I K : Antara Benang Putih dan Benang Hitam

Cahaya fajar sidik yang diabadikan melalui kamera sewaktu penerbangan ke Korea Selatan pada malam hujung Mei 2009

"...Makan dan minumlah hingga jelas bagimu (perbedaan) antara benang putih dan benang hitam, yaitu fajar..." ( Al-Baqarah: 187 )

_______________________ ***** _______________________________

Puisi Pagi

( Sesudah Pecah Fajar, Sebelum Pagi Meninggi)

Sesudah pecah fajar

pada hujung dinihari,

azan dan kokok ayam menyepi,

pohon mempelam berbalam-balam,

burung-burung terjun ke bumi,

sihir pagi beransur hadir:

jernih dan dingin

aman dan hening.

Kenapa aku termenung

diselubungi sepi,

tanpa hasrat dan mimpi.

Apakah sudah kau lengkapi hatiku,

tenteram menunggu,

tanpa keluh dan keinginan baru.

Baha Zain

Friday 1 January 2010

BULAN MEMBURU MATAHARI, MATAHARI MEMBURU BULAN

* Demikianlah kerana Allah (kuasa) memasukkan malam ke dalam siang dan memasukkan siang ke dalam malam, dan sungguh, Allah Maha Mendengar, Maha Melihat*
(22:61)
Terapung bulan, matahari dan bintang,
Terang, menghilang dalam ruang,
Tak terjangkau jari dan tangan,
Terpinga-pinga dalam bayang.
Malam memburu siang,
Siang mengendap malam,
Seperti kekasih yang merindu,
Di atas ranjang sepi dan pilu.
Hari bergilir hari
Silih berganti
menghitung waktu
tahun dan wujudku.
1 Januari 2010