Friday 5 November 2010

MENCARI TEMA UNTUK PUISI

Puisi boleh sahaja tentang apa saja, daripada kesaktian cahaya di langit sehinggalah kepada perasaan gelap dan rusuh di dalam hati. Tema atau persoalan puisi boleh difikirkan atau mungkin tiba-tiba datang tanpa diduga seperti kerinduan atau keceriaan di sanubari.

Pada suatu subuh dini, rintik-rintik hujan membangunkan daripada tidur lena. Tak ada apa-apa lain yang kedengaran kecuali bunyi halus yang gugur di bumbung dan bumi . Subuh itu tiba-tiba terasa sangatlah jernih dan bersih dalam perasaan; membersihkan fikiran daripada kenyataan harian yang membelenggu diri dengan masalah kehidupan. Sesungguhnya ada dunia lain yang jernih bening selain daripada yang nyata setiap pagi dan petang. Lantas bagaimanakah hendak diungkapkan tema besar itu dalam sebuah wadah puisi yang kemas dan comel?

hujan subuh

Hujan turun

titik

titik

berhimpun

membasahi lidah

memuji

maha suci.


Bernyanyi burung

membawa cahaya

awal pagi.



baha zain