Saturday 25 June 2011

KESABARAN SENIMAN

Saudara seorang yang berbakat. Barangkali memiliki kebolehan besar untuk melukis, bermain piano, menari, menyanyi atau apa saja kesenian. Sering dirangsang oleh sesuatu sehingga emosi saudara sangat ingin untuk mengucapkan diri dalam bentuk kesenian: lukisan, muzik, tulisan, arca, tarian dan sebagainya. Dorongan dari dalam diri untuk berkarya kerana cinta, sedih, rindu, sepi malahan marah dan benci juga, adalah gesaan yang tulen, sejati dan semula jadi. Didiklah emosi itu ke arah pengucapan yang jujur, tetapi bukan digesa oleh tujuan untuk mendapat hadiah, kemasyhuran, pengiktirafan atau nama . Kepalsuan matlamat ini tidak akan menjadikan karya saudara bertahan lama, dan tidak akan menjadikan saudara seorang seniman yang tulen serta jujur. Ingatlah bakat itu adalah amanah Tuhan. Untuk apa? Untuk mengucapkan kebenaran-Nya. Ya, kalau saudara kebetulan diberi hadiah, tidak mengapa, bersyukurlah. Tetapi selalu bersabarlah mengendalikan rangsangan yang mengesa-gesa saudara untuk mencipta, teruskan asal jangan terburu-buru untuk menerbitkannya.

Demikianlah kira-kira nasihat seorang penyair besar Jerman, Rainer Maria Rilke, yang melahirkan era baru dalam perkembangan sastera Jerman pada awal abad lalu. Begini ujar Rilke:

" Dalam hal ini tak ada soal tentang ukuran waktu. Satu tahun tak kira; sepuluh tahun tak apa-apa. Untuk menjadi seniman jangan mengira waktu; maknanya ia harus matang seperti pohon, yang tak memaksa getahnya, tetapi berdiri tegap dalam ribut musim bunga tanpa bimbang apakah musim panas akan datang. Ia akan datang juga. Tetapi ia hanya akan datang kepada mereka yang hidup sabar seolah-olah keabadian terbentang di depan, diam sepi tanpa hujungnya. Saya mempelajarinya setiap hari, belajar dengan pedih, tetapi saya bersyukur: Kesabaran adalah segala-galanya. "

Monday 9 May 2011

SURAT KEPADA SEORANG PENYAIR MUDA



Sesudah usai menterjemahkan surat daripada penyair terkenal Jerman, Rainer Maria Rilke, daripada bahasa Inggeris, saya kira akan segera dapat menyunting serta mengemaskannya kembali. Malangnya draf terjemahan itu terbiar begitu sahaja seperti tertidur lena di peraduannya sendiri. Rainer Maria Rilke yang hidup lebih 70 tahun dahulu di Jerman dan Perancis adalah penyair yang intense , sensitif, dan perenung; menjelajah jauh ke dalam diri serta emosi manusia selain daripada menjelajah secara geografis ke Russia, Sweden, Denmark, Sepanyol, Algeria, Tunisia, Mesir dan lain-lain negeri. Meskipun demikian sibuk, Rilke masih saja memberikan waktu untuk bukan menggurui tetapi mengajar bakat muda apakah maknanya untuk menjadi seorang penyair yang tulen: mengembara kembali ke alam pengalaman kanak-kanak dan berkelana mengenali diri sendiri, manusia lain, alam dan Tuhan. Rilke adalah antara gergasi sastera Jerman bersama-sama dengan Heine, Nietzsche, Brecht, Schiller dan Celan.

InsyaAllah begitu selesai merapikan terjemahan ini akan segera saya serahkan kepada Institut
Terjemahan Negara Malaysia untuk dipertimbang dan diterbitkan supaya dapat dibaca secara lebih meluas oleh khalayak ramai. Seperti kata pengarang terkenal Jose Saramago:
" Sasterawan dengan bahasanya menciptakan sastera nasional. Sastera dunia diciptakan oleh penterjemah."

Marilah kita baca sebuah puisi Rilke yang telah diterjemahkan ke bahasa Indonesia oleh Krista Saloh-Forster:
Alangkah Takutnya Aku

Alangkah takutnya aku akan bahasa manusia.
Semua yang mereka ucapkan jelas nian:
Ini anjing dan itu rumah,
dan yang sini adalah awal yang situ akhir.

Makna tutur mereka juga mencemaskanku,
permainan dengan ejekan,
mereka berasa tahu segalanya,
yang akan terjadi dan yang sudah terjadi;
bagi mereka , tiada lagi pesona gunung;
kebun dan lahan mereka
seakan berbatasan dengan Tuhan.

Aku selalu hendak menegur dan melawan: jagalah jarak !
Alangkah sukanya aku mendengar nyanyian alam.
Bila kalian sentuh: berubahlah mereka jadi kaku dan bisu.
Kalian membunuh segala yang ada.

Terserahlah kepada saudara untuk mentafsir maksudnya.

Wednesday 4 May 2011

Berdirilah di Pusaraku & Jangan Menangis

Seperti yang dijanjikan pada paparan lalu diterjemahkan puisi pengarang yang tak bernama.
Saya menterjemahkan secara bebas kerana tak mungkin mempertahankan keaslian rima bunyi asalnya : weep/sleep; blow/snow; grain/rain; hush/rush; flight/night; cry/die yang sedap dibaca bersama muzik bahasanya.

Apa pun jua yang penting ialah semangat serta tujuan puisi ini yang hendak menyatakan bahawa penyairnya berpesan lupakanlah dirinya dan di mana dia bersemadi kerana sewaktu dia hidup dia hanya ingin berbakti (spt angin, permata, hujan gerimis, bintang, dan musim) tanpa minta disanjung, diberi ganjaran malahan ditangisi. Anggaplah di pusara itu tidak ada jenazahnya, seolah-olah dia tidak mati. Janganlah bersedih dan meratap. Aduh! alangkah luar biasa dan mulianya keikhlasan bakti seorang yang bernama penyair:



Jangan berdiri di sisi pusaraku dan menangis;
Aku tidak berada di situ. Aku tidak tidur.
Aku seribu bayu yang menderu.
Aku intan berkilauan di salju.
Aku cahaya mentari di bijiran ranum.
Aku gerimis lembut musim gugur.
Apabila engkau terjaga di pagi sepi
Akulah yang membangunkan tergesa-gesa
Burung-burung terbang berlegaran di udara.
Akulah bintang mesra bergemerlapan tatkala malam
Janganlah berdiri di sisi pusaraku dan menangis;
Aku tiada di sana. Aku tidak mati pula.

NB:Barangkali saudara boleh memperbaiki terjemahan di atas supaya lebih tepat dan memikat.

Tuesday 3 May 2011

Jangan Berdiri di sisi Pusaraku dan Menangis

Perasaan jujur ( sedih, sayu atau ceria)yang bergelora jauh di dalam berkemampuan melahirkan pengucapan bahasa yang sangat berkesan serta indah pada emosi pembaca. Bukan mesti diucapkan oleh penyair besar atau terkenal, manusia biasa pun mampu melahirkan emosi yang intense untuk menyentuh sanubari pembacanya.
Sebuah puisi yang tak diketahui siapa nama pengarangnya diketemui dalam saku seorang tentera yang mati terbunuh dalam pertempuran di Ireland Utara.Dia telah meninggalkan pesan kepada kawan-kawannya , andainya dia gugur sampaikanlah envelop yang berisi puisi kepada keluarganya. Puisi itu bukan tulisannya sendiri, tetapi ciptaan orang lain yang sehingga hari ini tidak diketahui siapa, tetapi puisi itu telah menjadi kesukaan ribuan
pembaca.
Do Not Stand at My Grave and Weep

Do not stand at my grave and weep;
I am not there. I do not sleep.
I am a thousand winds that blow.
I am the diamond glints on snow.
I am the sunlight on ripened grain.
I am the gentle autumn rain.
When you awaken in the morning's hush
I am the swift uplifting rush
Of quiet birds in circled flight.
I am the soft stars that shine at night.
Do not stand at my grave and cry:
I am not there. I did not die.

(The Nation's Favourite, BBC Books, 2010)

[ InsyaAllah saya akan terjemahkankan untuk melihat kemungkinannya dlm BM]

Thursday 21 April 2011

DENGAN PUISI, AKU

Saudara Satira, tiba-tiba menelepon pada malam hari bertanyakan tentang blog saya yang membisu sekian lama.Seperti menulis puisi, menulis blog pun menuntut adanya mood, meskipun banyak sekali yang ingin diucapkan. Hanya saya berharap pengikut-pengikut yang masih sahaja berminat mengikuti tulisan saya, cubalah membuka halaman majalah Dewan Sastera yang InsyaAllah terus menghantar catatan serta puisi saban bulan.

Tadi siang sedang saya mengemas buku diari dan buku catatan yang lain , saya terbuka halaman yang ditulis oleh Penyair Indonesia, Taufiq Ismail, 13 tahun yang lalu sewaktu kami bersama di Pulau Besar, Melaka. Buku itu masih rapi, baik, dan jelas menyimpan puisi Taufiq. Dengan kami ada tiga peserta penyair lain Kazuko Shiraishi ( penyair wanita terkenal Jepun), Dr. Siti Zainon Ismail, Dr Muhammad Haji Salleh yang menjadi penyelaras begkel untuk kami belajar menulis bentuk puisi tradisional Japun, yakni Renga.Itu semua berlaku pada Mac '98. Begini tulis Taufiq dalam buku catatan saya:
Dengan puisi aku bernyanyi
sampai senja umurku nanti
dengan puisi aku bercinta
berbatas cakerawala
dengan puisi aku mengenang
kebadian yang akan datang
dengan puisi aku menangis
jarum waktu bila kejam mengiris
...
[ untuk sahabat lamaku
Baha Zain ]

Sungguhlah! dengan puisi kita berbicara,
walupun tak bersua mata
.

Sampai bertemu lagi