Sering datang pertanyaan bagaimana mencipta puisi. Bukan mudah untuk mengajar orang menulis puisi. Walau bagaimana pun bolehlah dinyatakan beberapa sifat bentuk bahasa puisi itu yang berbeza daripada prosa.
Biasanya puisi berada dalam rangkap-rangkap seperti pantun. Memang pantun itu adalah ciptaan yang luar biasa -- di dunia -- sebagai ciptaan seni puisi. Pantun menjadi warisan kebanggaan bangsa Melayu sejak zaman budaya lisan hingga ke zaman budaya cetakan dan budaya maya pada hari ini.
Meskipun puisi itu wujud dalam rangkap-rangkap tertentu, namun prosa yang dipotong-potong ayatnya dan disusun dalam beberapa rangkap tidaklah boleh dianggap sebagai puisi. Kegiatan pembacaan puisi yang diperdengarkan cenderung mempengaruhi penulis mengarang prosa yang dibacakan seperti puisi. Malahan banyak sekali karya yang terbit dikatakan puisi, tetapi setelah disambung-sambung baris-barisnya jelas ia adalah prosa yang lengkap. Kesilapan ini bukan sahaja dilakukan oleh bakat baru, malahan pengarang-pengarang terkenal pun melakukannya.
Antara ciri-ciri pengucapan atau retorik yang terdapat pada puisi ialah :
i) Metafora ( contoh-- "kehidupan adalah suatu kembara");
ii) Personifikasi ( " Kesedihanku menjerit pilu")
iii)Metonimi ( "Putra Jaya " nama ganti bagi kerajaan )
iv) Ironi ( gambaran yang diberikan kebalikan daripada yang dijangka)
v) Aliterasi ( pengulangan konsonan " kalau kukatakan kepada sekalian kawan kita")
vi)Asonansi (pengulangan bunyi vokal "apa maknanya segala cinta yang durjana")
Demikianlah kiranya antara sifat-sifat yang membezakan sebuah puisi (terutama puisi lirik) daripada sebuah naratif atau cerita yang memiliki teks yang lebih panjang.
salam idul adha tuan..
ReplyDeleteapakah karya saya itu puisi atau...bukan
mohon komen..
Saya juga ada konflik yang sama.
ReplyDeleteDihantar ke media perdana, satu pun belum tersiar.
Sedangkan cerpen. pertama kali cuba sudah tembus.
Oleh kerana blog saya telah diprivasikan maka, saya perturunkan tulisan saya untuk komen Dato' kerana saya ingin belajar.
KERATAPI LAJU YANG MENGHAMBAT KENANG
/1/
keretapi laju pantas meluncur di antara bukit-bukit hitam
dan rimba batu Osaka tidak pernah kelam
dingin angin menujah melewati jendela
malam itu.
/2/
harapan tertayang ke perasaan
dalam lena tak tidur
engkau di sisi
dan kita berbicara seolah sudah berabad mengenali
kadang dalam diam
wajah hatimu, cuba kuceroboh pandang
sebelum keretapi berlabuh di destinasi.
/3/
Kelopak-kelopak rindu belum terlerai
di gerabak yang berlari
mengheret manis kenangan yang masih tersisa
cenderahati pemberianmu masih tersimpan
tanda pertemuan dengan ukhwah persaudaraan
/4/
sebelum tiba di stesen destinasi
keretapi meneriakkan siren berulang kali
terhimpun pilu, juga persoalan di keliling hati
meninggalkan engkau yang sehari ku kenali
mungkin takkan ketemu lagi.
oh begitu... jadi saya perlu lebih berhati-hati bila menulis label. Kadang-kadang saya fikir itu puisi tapi mungkin bukan. Hmmm...
ReplyDeleteAssalamualaikum Sdr faziz, water lily dan Zakiah,
ReplyDeleteJanganlah risaukan sangat apakah karya sdr puisi ataupun tidak. Apa yang penting ucapkanlah perasaan dan fikiran sdr bedasarkan
pengalaman yang betul-betul dilalui, iaitu pengalaman jiwa yang betul-betul berlaku. Dalam kata lain pengalaman pribadi yang jujur.
Bacalah juga karya-karya tokoh penyair spt Amir Hamzah, Chairil Anwar, Goenawan Muhamad , Rendra dan Usman Awang yang mempunayi stail bahasa yang menarik dan asli.
Rajin-rajinlah juga merujuk kamus untuk mempastikan ejaan serta makna. Selain itu menulis karya adalah usaha yang berterusan tanpa jemu dan sering dalam kesepian sendiri.