Thursday 1 January 2015

SIKAP KESENIAN TAHUN 2015

KITA memasuki 2015 dengan perasaan yang murung kerana 2014 yang baru dilepaskan penuh dengan kemelut dan ketidaktentuan. Namun banyak pengalaman dan pengajaran yang dapat ditimba untuk menjadi bekal bagi menghadapi tahun baharu ini.

 Langkah pertama ialah membina azam bahawa penulis, seniman dan pengamal media harus mengambil pendirian untuk menyumbang mensejahterakan kehidupan masyarakat .

Salah satu pelajaran yang kita perolehi daripada peristiwa musibah bencana banjir ialah disamping faktor alam semula jadi , ada faktor kedurjanaan dan kelalaian yang dilakukan oleh manusia terhadap persekitarannya. Negara-negara besar  yang sedang pesat perkembangan industri dan ekonominya  (seperti Amerika dan China) adalah negara yang paling banyak melepaskan pencemaran karbon dioksida ke udara dunia sehingga mencemarkan alam dan memanaskan dunia.

Penduduk Malaysia juga tidak kurang durjananya apabila menumbangkan hutan belantara dan mengikis permukaan bumi sehingga berlakunya hakisan dan mencetekkan parit dan sungai. Lihat contoh jelas di Cameron Highlands dan di negeri-negeri lain sehingga negeri-negeri kediaman majoriti Melayu menderita teruk dan memiskinkan lagi masyarakat Melayu yang memang sudah ketinggalan bebanding kaum lain.

Sekarang tibalah waktunya para seniman, pencipta dan penulis menggerakkan kesedaran hebat bagi mengingatkan masyarakat, pemimpin, pentadbir, pedagang dan tokoh-tokoh politik bahawa budaya kebiadaban terhadap alam ini mesti dicegah dan diberhentikan .Tokoh-tokoh negara mesti mengambil inisiatif mengawal alam dan hutan rimba Malaysia.

Pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar yang hijau,  udara dan air mesti menjadi agenda para penulis , penyair, dramatis, penyanyi, pelakon dan cendekiawan.Ini adalah tugas kita yang penting pada tahun ini dan seterusnya. Keadilan terhadap alam sekitar mesti menjadi agenda politik seni hari ini mengingat bahawa kita telah diamanahkan oleh Tuhan untuk memakmurkan alam semesta .

Apakah yang perlu kita semua lakukan segera? 

No comments:

Post a Comment