Monday, 19 January 2015

KEUTAMAAN KESENIAN SEMASA; PANGGILAN HATI NURANI

MASYARAKAT dikejutkan dengan banyak krisis akhir-akhir ini.  Sepanjang setahun yang lalu rentetan tiga tragedi besar pesawat udara mengurbankan ratusan jiwa; dan  tahun 2015 dimulai dengan banjir besar yang luar biasa, bencana yang dideritai ribuan rakyat. Yang paling terpukul ialah penduduk Melayu/bumiputera yang keadaan ekonominya memang lebih mundur daripada kaum lain.

Dengan bencana banjir ini mangsa yang ditimpa kemalangan menjadi lebih merosot ekonominya apabila harta benda yang ada musnah, dan untuk mengumpul semuanya itu lagi akan memakan waktu bertahun-tahun lamanya . Faktor ketidakadilan ekonomi yang sedia menjarakkan keadilan sosial antara Bumiputera dengan bukan Bumiputera menjadi lebih parah dan terus berpanjangan.

Cendekiawan, seniman dan penulis nampaknya perlu kembali kepada nilai-nilai perjuangan yang memihak kepada "Seni untuk Rakyat dan Negara", yakni menilai apakah sekalian kegiatan kesenian itu ada gunanya kepada kepentingan utama bangsa, khususnya membangunkan fikiran kritis , kreatif dan progresif di kalangan masyarakat.

 Seniman perlu menaksir atau menilai apakah persekitarannya: alam, agensi awam, pemimpin pelbagai lapangan, NGO dan lain-lain bergiat untuk kesejahteraan alam, sosial dan negara pada umumnya ( bukan untuk kepuasan diri, puak dan organisasi masing-masing sahaja).

Para penulis perlu meneliti alam persekitaran dan kehidupan di dalamnya kerana dari situlah penulis menimba ilham, pengajaran dan malahan tanda serta isyarat tentang kedurjanaan manusia terhadap manusia lain. Khususnya bagi kita di Malaysia antara negara-negara di tropika yang Allah limpahkan dengan hutan rimba yang luar biasa kayanya dengan biodiversiti, air hujan yang banyak, kayu kayan dan makhluk hidup yang beraneka ragam (jangan lupa gas dan minyak yang terpendam),tetapi  kenapakah telah berlaku ketidakcukupan air bersih , penggondolan muka bumi, pencurian minyak disel, dan kemiskinan yang meluas di negeri-negeri tertentu, dan di daerah-daerah luar bandar. Di mana salahnya.

 Kenapa masih tidak terselesaikan kesenjangan peratus pemilikan hartanah, pemilikan syer korporat, pendapatan dan kedudukan profesional antara Bumiputera dengan bukan Bumiputera? Barangkali statistik di tangan saya sudah banyak berubah ke arah kemajuan. Mudah-mudah begitulah.

Kita tidak boleh menyalahkan orang lain sedangkan sekalian pusat kekuasaan pemerintahan negara, pentadbiran, politik, ketenteraan, perundangan yang penting itu berada dalam genggaman tangan Bumiputera. Aneh!

Ada sesuatu yang tak kena dalam kebudayaan, nilai-nilai, mental , sikap dan fikiran masyarakat Melayu kita. Inilah yang harus menjadi cabaran ; dan inilah isu yang perlu dibangkitkan semula setelah kita - terutama para seniman - hanyut demikian jauhnya.

Sesudah sekalian malapetaka dan bencana itu, ini adalah saat untuk bermuhasabah dan menilai kesenimanan kita. 






memang begkawasan luar bandar 

Thursday, 1 January 2015

SIKAP KESENIAN TAHUN 2015

KITA memasuki 2015 dengan perasaan yang murung kerana 2014 yang baru dilepaskan penuh dengan kemelut dan ketidaktentuan. Namun banyak pengalaman dan pengajaran yang dapat ditimba untuk menjadi bekal bagi menghadapi tahun baharu ini.

 Langkah pertama ialah membina azam bahawa penulis, seniman dan pengamal media harus mengambil pendirian untuk menyumbang mensejahterakan kehidupan masyarakat .

Salah satu pelajaran yang kita perolehi daripada peristiwa musibah bencana banjir ialah disamping faktor alam semula jadi , ada faktor kedurjanaan dan kelalaian yang dilakukan oleh manusia terhadap persekitarannya. Negara-negara besar  yang sedang pesat perkembangan industri dan ekonominya  (seperti Amerika dan China) adalah negara yang paling banyak melepaskan pencemaran karbon dioksida ke udara dunia sehingga mencemarkan alam dan memanaskan dunia.

Penduduk Malaysia juga tidak kurang durjananya apabila menumbangkan hutan belantara dan mengikis permukaan bumi sehingga berlakunya hakisan dan mencetekkan parit dan sungai. Lihat contoh jelas di Cameron Highlands dan di negeri-negeri lain sehingga negeri-negeri kediaman majoriti Melayu menderita teruk dan memiskinkan lagi masyarakat Melayu yang memang sudah ketinggalan bebanding kaum lain.

Sekarang tibalah waktunya para seniman, pencipta dan penulis menggerakkan kesedaran hebat bagi mengingatkan masyarakat, pemimpin, pentadbir, pedagang dan tokoh-tokoh politik bahawa budaya kebiadaban terhadap alam ini mesti dicegah dan diberhentikan .Tokoh-tokoh negara mesti mengambil inisiatif mengawal alam dan hutan rimba Malaysia.

Pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar yang hijau,  udara dan air mesti menjadi agenda para penulis , penyair, dramatis, penyanyi, pelakon dan cendekiawan.Ini adalah tugas kita yang penting pada tahun ini dan seterusnya. Keadilan terhadap alam sekitar mesti menjadi agenda politik seni hari ini mengingat bahawa kita telah diamanahkan oleh Tuhan untuk memakmurkan alam semesta .

Apakah yang perlu kita semua lakukan segera? 

Wednesday, 13 November 2013

                                 G E N D E R
Aku bilang: Aku tak akan hidup lama lagi,
Dia hanya diam, tak sangat peduli.

Aku bilang: Engkau akan kesepian nanti,
Dia hanya diam, tak ambil peduli.

Apa yang harus kuucapkan lagi?
Antara kami, segalanya sepi,
Kecuali i-phone, dan dia dengan i-padnya.

Lalu aku bilang: Aku akan kahwin lagi,
Dia membeliakkan mata,
Sepasang penampar singgah di pipi.

Aduh! 
Sakitnya.

BahaZain, "Monolog Kecil",Dewan Satera, November 2013




KEMBALI AKU BERPUISI DI ALAM MAYA INI

                                               

                    G  E  N  D  E  R


Aku bilang: Aku tak akan hidup lama lagi,
Dia hanya diam, tak sangat peduli.

Aku bilang: Engkau akan kesepian nanti,
Dia hanya diam, tak ambil peduli.

Apa yang harus kuucapkan lagi?
Antara kami, segalanya sunyi sepi,
Kecuali i-phone, dan dia dengan i-padnya.

Lalu aku bilang: Aku akan kahwin lagi,
Dia membeliakkan mata,
Sepasang penampar singgah di pipi.

Aduh! sakitnya.

Baha Zain,  "Monolog Kecil",Dewan Sastera, November 13

Tuesday, 2 April 2013

Lama sudah  menyepi,
Di alam maya luas tak berbatas.
Hanya kata-kata ,
Terkapar malas ,
Di muka kertas.

Esok atau lusa,
Akan kuketuk juga pintu,
Membangunkan sekalian kata,
Yang tertidur dan bisu.

Saturday, 25 June 2011

KESABARAN SENIMAN

Saudara seorang yang berbakat. Barangkali memiliki kebolehan besar untuk melukis, bermain piano, menari, menyanyi atau apa saja kesenian. Sering dirangsang oleh sesuatu sehingga emosi saudara sangat ingin untuk mengucapkan diri dalam bentuk kesenian: lukisan, muzik, tulisan, arca, tarian dan sebagainya. Dorongan dari dalam diri untuk berkarya kerana cinta, sedih, rindu, sepi malahan marah dan benci juga, adalah gesaan yang tulen, sejati dan semula jadi. Didiklah emosi itu ke arah pengucapan yang jujur, tetapi bukan digesa oleh tujuan untuk mendapat hadiah, kemasyhuran, pengiktirafan atau nama . Kepalsuan matlamat ini tidak akan menjadikan karya saudara bertahan lama, dan tidak akan menjadikan saudara seorang seniman yang tulen serta jujur. Ingatlah bakat itu adalah amanah Tuhan. Untuk apa? Untuk mengucapkan kebenaran-Nya. Ya, kalau saudara kebetulan diberi hadiah, tidak mengapa, bersyukurlah. Tetapi selalu bersabarlah mengendalikan rangsangan yang mengesa-gesa saudara untuk mencipta, teruskan asal jangan terburu-buru untuk menerbitkannya.

Demikianlah kira-kira nasihat seorang penyair besar Jerman, Rainer Maria Rilke, yang melahirkan era baru dalam perkembangan sastera Jerman pada awal abad lalu. Begini ujar Rilke:

" Dalam hal ini tak ada soal tentang ukuran waktu. Satu tahun tak kira; sepuluh tahun tak apa-apa. Untuk menjadi seniman jangan mengira waktu; maknanya ia harus matang seperti pohon, yang tak memaksa getahnya, tetapi berdiri tegap dalam ribut musim bunga tanpa bimbang apakah musim panas akan datang. Ia akan datang juga. Tetapi ia hanya akan datang kepada mereka yang hidup sabar seolah-olah keabadian terbentang di depan, diam sepi tanpa hujungnya. Saya mempelajarinya setiap hari, belajar dengan pedih, tetapi saya bersyukur: Kesabaran adalah segala-galanya. "

Monday, 9 May 2011

SURAT KEPADA SEORANG PENYAIR MUDA



Sesudah usai menterjemahkan surat daripada penyair terkenal Jerman, Rainer Maria Rilke, daripada bahasa Inggeris, saya kira akan segera dapat menyunting serta mengemaskannya kembali. Malangnya draf terjemahan itu terbiar begitu sahaja seperti tertidur lena di peraduannya sendiri. Rainer Maria Rilke yang hidup lebih 70 tahun dahulu di Jerman dan Perancis adalah penyair yang intense , sensitif, dan perenung; menjelajah jauh ke dalam diri serta emosi manusia selain daripada menjelajah secara geografis ke Russia, Sweden, Denmark, Sepanyol, Algeria, Tunisia, Mesir dan lain-lain negeri. Meskipun demikian sibuk, Rilke masih saja memberikan waktu untuk bukan menggurui tetapi mengajar bakat muda apakah maknanya untuk menjadi seorang penyair yang tulen: mengembara kembali ke alam pengalaman kanak-kanak dan berkelana mengenali diri sendiri, manusia lain, alam dan Tuhan. Rilke adalah antara gergasi sastera Jerman bersama-sama dengan Heine, Nietzsche, Brecht, Schiller dan Celan.

InsyaAllah begitu selesai merapikan terjemahan ini akan segera saya serahkan kepada Institut
Terjemahan Negara Malaysia untuk dipertimbang dan diterbitkan supaya dapat dibaca secara lebih meluas oleh khalayak ramai. Seperti kata pengarang terkenal Jose Saramago:
" Sasterawan dengan bahasanya menciptakan sastera nasional. Sastera dunia diciptakan oleh penterjemah."

Marilah kita baca sebuah puisi Rilke yang telah diterjemahkan ke bahasa Indonesia oleh Krista Saloh-Forster:
Alangkah Takutnya Aku

Alangkah takutnya aku akan bahasa manusia.
Semua yang mereka ucapkan jelas nian:
Ini anjing dan itu rumah,
dan yang sini adalah awal yang situ akhir.

Makna tutur mereka juga mencemaskanku,
permainan dengan ejekan,
mereka berasa tahu segalanya,
yang akan terjadi dan yang sudah terjadi;
bagi mereka , tiada lagi pesona gunung;
kebun dan lahan mereka
seakan berbatasan dengan Tuhan.

Aku selalu hendak menegur dan melawan: jagalah jarak !
Alangkah sukanya aku mendengar nyanyian alam.
Bila kalian sentuh: berubahlah mereka jadi kaku dan bisu.
Kalian membunuh segala yang ada.

Terserahlah kepada saudara untuk mentafsir maksudnya.