Friday 23 April 2010

MENTERJEMAH AKAL BUDI BANGSA

Haji Mohd Khair, Pengarah Urusan ITNM, menjadi Pemudah Cara pada majlis Dialog , Pesta Buku Antarabangsa, di gerai ITNM, Mac 2010.Kanan sekali Patricia
Vasquez Marin, penterjemah Sepanyol bagi kumpulan puisi ,
Menangguhkan Kebenaran.












Dr Pogadaev, berhari raya ke rumah kami di Dusun Permai, pada 2009. Dr Pogadaev menterjemahkan puisi-puisi saya ke bahasa Russia dalam sebuah buku berjudul "Topeng-Topeng".














(Gambar kiri)
Di Banglo Prof. Emeritus, Mohammad Haji Salleh, di Saujana Golf Resort, Kajang,2010.Penyair Muhammad Hj Salleh telah menginggersikan bahasa puisi saya terutama dalam "Postponing Truth and Other Poems"




Setiap penyair ingin puisinya terbit dalam media.Semua penyair pada umumnya ingin buku puisinya tercetak dan tersebar luas. Ramai penyair mengimpikan puisinya diterjemah ke bahasa-bahasa lain supaya tersebar ke dunia luar. Ini bukan hanya idaman penulis, tetapi sewajarnya menjadi impian dan hasrat budaya semua bangsa yang berbudaya dan bertamadun. Karya seni yang akrab dengan perasaan serta akal budi sesebuah negara menceritakan kekayaan kemanusiaan,imaginasi, dan daya kreatif masyarakat atau manusia penduduknya.

Akal budi, kekreatifan dan sifat-sifat halus terhadap alam, kehidupan dan persekitaran adalah sebahagian daripada sifat-sifat insan yang harus terus dibangun dan disuburkan bagi mewujudkan masyarakat yang penyayang; bukan masyarakat yang kebendaan, rakus, tamak haloba dan berjiwa jenayah. Di kalangan pencinta seni dan orang kreatif pun tidak tentu terjamin sopan santun dan timbang rasanya terhadap makhluk lain, apalagi kalau penduduk dihasut fikirannya untuk mengejar duit, mengejar pangkat, dan berebut kedudukan serta kekuasaan.Inilah mala petaka kemanusiaan yang sedang merayap di hati-hati segelintir penduduk sampai sanggup membunuh bayi yang masih belum sempat menuyusu, menyembelih ayah dan ibu yang membesarkan anaknya dengan segala kasih sayang sejak tapak kaki si anak sebesar dua tiga jari. MasyaAllah apa bala yang telah menimpa masyarakat modern di kota dan desa kita.

Meskipun semakin ramai yang mentarbiah penduduk supaya bersolat, membetulkan solat, berzakat, berpuasa,dan berbuat baik sesama Islam ( suatu usaha dakwah yang patut terus digerakkan), tetapi terasa usaha-usaha ini berdepan dengan gelombang besar
yang mengalahkan sekalian jerih payah kalau keterlanjuran sosial (judi,arak,riba,dan nafsu besar terhadap pangkat, pendapatan besar, kecemarlangan individu etc)tidak dibahaskan, dan terus menerkam jiwa pelajar, generasi baru dan malah orang dewasa.

Kesenian, kebudayaan,ilmu, pendidikan, dan kemahiran semua diarahkan untuk kepentingan perniagaan. Lihat bagaimana institusi pendidikan swasta, dan hospital swasta dibangunkan bukan demi pendidikan dan kesihatan , tetapi demi keuntungan.

Inikah yang hendak kita jadikan identiti, jati diri, dan sifat-sifat manusia Malaysia ? Justru itu usaha penciptaan seni sastera, visual, persembahan, filem
dan literasi pembacaan mahu tidak mahu, tanpa pilihan lagi, harus disuburkan bagi mengimbangi kehidupan material, pendapatan tinggi, teknologi, dan perbankan yang bersama-sama menghakis moral dan etika, adab sopan, dan alam sekitar ( lihat pembalakan haram yang bermodal besar berlaku di mana-mana di bawah hidung pentadbir dan menteri ).

Negara kita sudah terlambat merancangkan terbentuknya masyarakat yang penyayang, berseni budaya, dan beragama.Bilakah belanjawan negara, perancangan lima tahun, dan model-model ekonomi kita melonjakkan tema perancangan besar tentang membentuk masyarakat yang berperikemanusiaan ?

Wahai para pemimpin yang berkuasa, mari kita bersama memperkuat mantapkan institusi
sosial yang mempertahankan alam dan melestarikan kehidupan yang manusiawi. Kementerian pembangunan masyarakat jangan menjadi kementerian tambahan atau sampingan semata-mata.Pemimpin politik dan pemimpin perkhidmatan awam dituntut memperhebatkan imaginasi dan kreativiti mental masing-masing bagi menjawab isu-isu
sosial hari ini.

Saturday 17 April 2010

H U J A N

ALAM TERANG BENDERANG , DAN , PANAS MENGGIGIT SEBELUM
HUJAN



Hujan mencurah
kolam bunting melempah
daun-daun kuyup
titisan berjurai
bising di sekeliling
aku termangu
mengenangmu.

Alam bersih indah
dingin menghijau
angin kencang
menerkam
sepi di dalam.

Hujan
aku pilu sendirian
membayangkan
kalau engkau pergi
tiada kembali lagi


Baha Zain
17 April 2010