Friday 5 November 2010

MENCARI TEMA UNTUK PUISI

Puisi boleh sahaja tentang apa saja, daripada kesaktian cahaya di langit sehinggalah kepada perasaan gelap dan rusuh di dalam hati. Tema atau persoalan puisi boleh difikirkan atau mungkin tiba-tiba datang tanpa diduga seperti kerinduan atau keceriaan di sanubari.

Pada suatu subuh dini, rintik-rintik hujan membangunkan daripada tidur lena. Tak ada apa-apa lain yang kedengaran kecuali bunyi halus yang gugur di bumbung dan bumi . Subuh itu tiba-tiba terasa sangatlah jernih dan bersih dalam perasaan; membersihkan fikiran daripada kenyataan harian yang membelenggu diri dengan masalah kehidupan. Sesungguhnya ada dunia lain yang jernih bening selain daripada yang nyata setiap pagi dan petang. Lantas bagaimanakah hendak diungkapkan tema besar itu dalam sebuah wadah puisi yang kemas dan comel?

hujan subuh

Hujan turun

titik

titik

berhimpun

membasahi lidah

memuji

maha suci.


Bernyanyi burung

membawa cahaya

awal pagi.



baha zain

Tuesday 17 August 2010

MENCARI ALLAH dan MEMBACA CINTANYA


Ramadahan semakin mendekatkan kita dengan Tuhan, tetapi Tuhan masih tak kelihatan, seolah-olah Tuhan enggan menampakkan diri-Nya.Memang Tuhan tak berwajah seperti pada berhala, kuil, dan gereja-gereja itu kerana Tuhan berada di mana-mana , malah hampir dengan kita , langsung di dalam jantung, hati , darah dan nafas manusia, sehingga kita tak dapat melihat jantung, darah yang mengalir atau jaringan jutaan saraf di dalam.

Seorang sahabat seawal Ramadhan telah mengirim sms kepada saya tentang wajah, citra, kelibat atau bayang-bayang Tuhan. Katanya:

" Peribahasa Parsi ada menyebut:kalau tak tercari penyanyinya, anggaplah lagunya itu sebagai penyanyinya; kalau tak tercari Allah swt carilah Dia dalam alunan Quran-Nya."

Maka percayalah bahawa itulah hakikatnya; dan bertaqwalah kalau demikian kepercayaan yang diajar dan yang kita pegang.

Friday 6 August 2010

TERJAGA DALAM DAKAPAN-MU



Aku tak mahu terlena lagi,
aku ingin berjaga sepanjang waktu,
dalam dakapan-Mu:
dalam kata-kata,
dan kalimat-kalimat,
dingin bagai embun,
sebening hujan,
setenang air di kolam.



Daripada enam ribu enam ratus enam belas sabda itu,
daripada sembilan puluh sembilan nama-Mu,
ada sebuah kata,
Ramadhan dengan seribu bulan,
tanda kasih sayang,
ah! aku tak ingin terlena lagi,
dalam dakapan yang abadi.

Dakaplah aku erat-erat,
rengkuh nafasku dalam-dalam,
sampai aku lemas,
dalam cinta-Mu.
Amin.

Saturday 17 July 2010

JANGAN KETINGGALAN DI PETA KEHIDUPAN


Waktu:
Berkepakkan angin,
Bermatakan cahaya,
Pantas meninggalkan kita,
Di peta hidup yang fana.

Mari genggam hari ini,
Agar esok tak akan meliar,
Jangan rindukan masa silam,
Yang tertinggal semalam.

Jangan berduka pada apa yang terjadi,
Waktu serta usia terlepas seperti air di celah jari,
Hari ini kita genggam erat segala waktu,
Kita cumbui esok yang termangu menunggu.



Baha Zain
18 Julai 2010

Friday 11 June 2010

SESUDAH TENGAH MALAM


Malam sudah kuyup gelap,
tatkala mimpi meredakan dengkur,
tatakala dia akan bangun,
senyap-senyap membersihkan diri,
seperti pada malam-malam lain,
berdiri menyatu,
seperti air tenang .
Sepi.

Dia keseorangan di situ,
seperti kelasi keseorangan di tengah segara.
tiada apa-apa lagi,
kecuali kata-kata yang mati,
berkubur dalam hati,
menjadi doa terakhir,
penghabisan kali.

"Bayangkan seorang demagog rukuk di kamar dengan pintu tertutup sedang
pistolnya terletak rapi di sisi".

Dia hanya memiliki kesetiaan malam,
malam yang setiap malam mendakapnya,
mendengar segala pengaduan dengan tekun,
tanpa berkata apa-apa kepadanya,
tetapi dia masih percaya,
ini waktu yang tak berbohong dengan segala jenis manusia,
tidak seperti siang yang kemilau,
tatkala keindahan dan kata-kata menjadi raja.

"Bayangkan seseorang yang berdiri di kiri kanan dengan tersenyum sedang belati terselit di belakang"

Tidak semua dapat dibayangkan,
Seperti Tun Teja tidak menyangka,
Rindunya kepada Tuah bertukar bisa,
Menista cintanya di kaki Raja.

Ah! Bagaimana seorang pahlawan,
yang bersumpah melindungi kerajaan,
membunuh seorang perempuan,
yang tak berdosa; yang selalu mendoakannya.

Baha Zain

Wednesday 19 May 2010

DOA MULUS SEORANG PUTERI

" Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan dan menginaya dirinya, kemudian dia memohon ampun kepada Allah, niscaya dia mendapati Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang"-
(An Nisaa':110 )

Seperti terbit fajar di timur,
Hening, dingin, putih dan bersih,
Engkau dan aku para kekasih,
Seperti Adam dan Hawa, di bumi manusia,
Tanah tempat kita bercinta, dan menyemai benih amanah-Nya.

Engkau lelaki perkasa, tangkas, tegas dan berani,
Engkau adalah wira, memerangi kezaliman, menegakkan keadilan,
Kami wanita sabar, setia dan percaya:
Apabila engkau di medan, bersilang senjata di depan kengerian,
Kami di belakang melindungi anak-anak, berdoa dan berkorban.

Antara kita, engkau dan aku , sama, namun berbeza:
Engkau bernama lelaki, dan kami tetap perempuan,
Seperti sepasang cenderawasih terbang tinggi di awan,
Seperti sepasang merak melata di hutan,
Lelaki adalah pelindung, pengasih dan penyayang,
Perempuan yang lembut, selalu mulus dalam kepercayaan.

Ini adalah bumi tanah air kita, Malaysia yang sedang memaknakan martabatnya, tetapi
Apakah ertinya kemanusiaan kalau yang lemah sering digigit keganasan?
Apakah ertinya kemerdekaan apabila wanitanya masih dibelit penindasan?
Jadi barang daganagan dan permainan naluri bangsa bernama lelaki:
Habis manis sepah dibuang;
Bayi tak berdosa, matanya masih tak terbuka, dilempar ke jalan-jalan.

Di manakah kata-kata, janji dan maruah?
Di manakah rumah, bumbung, dan pagar tempat berlindung ?
Seperti terbukti benarnya peribahasa Melayu:
Harapkan pagar, pagar makan padi,
Bagai haiwan, miskin akal dan budi.

Ini tanah air, bumi bangsa yang dimandikan air di sekeliling pantainya,
Didingini hujan dan dilindungi awan gemawan sepanjang tahun,
Terlimpah rahmat , ilmu, dan hikmah tak terhitung,
Sujudlah engkau , lelaki dan perempuan, dalam sunah dan firman-Nya,
Demi Tuhan, Dia tidak mungkir janji, dan tepat dengan perhitungan.

Pimpinlah tangan kami ke bukit yang tinggi,
Seperti Adam dan Hawa di Jabal Rahmah,
Dengan taubat, keampunan dan amanah:
Mencipta zaman baru, kehidupan yang berubah;
Membangunkan keadilan, umat yang bermaruah.


BAHA ZAIN

[ puisi ini baru diterbitkan dalam buku Lelaki Pelindung Wanita : Sebuah Trilogi (Hormati, Lindungi dan Bahagiakan Wanita), susunan Ir. Endok Sempo M Tahir, terbitan Wanita Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia, 2010)

Friday 23 April 2010

MENTERJEMAH AKAL BUDI BANGSA

Haji Mohd Khair, Pengarah Urusan ITNM, menjadi Pemudah Cara pada majlis Dialog , Pesta Buku Antarabangsa, di gerai ITNM, Mac 2010.Kanan sekali Patricia
Vasquez Marin, penterjemah Sepanyol bagi kumpulan puisi ,
Menangguhkan Kebenaran.












Dr Pogadaev, berhari raya ke rumah kami di Dusun Permai, pada 2009. Dr Pogadaev menterjemahkan puisi-puisi saya ke bahasa Russia dalam sebuah buku berjudul "Topeng-Topeng".














(Gambar kiri)
Di Banglo Prof. Emeritus, Mohammad Haji Salleh, di Saujana Golf Resort, Kajang,2010.Penyair Muhammad Hj Salleh telah menginggersikan bahasa puisi saya terutama dalam "Postponing Truth and Other Poems"




Setiap penyair ingin puisinya terbit dalam media.Semua penyair pada umumnya ingin buku puisinya tercetak dan tersebar luas. Ramai penyair mengimpikan puisinya diterjemah ke bahasa-bahasa lain supaya tersebar ke dunia luar. Ini bukan hanya idaman penulis, tetapi sewajarnya menjadi impian dan hasrat budaya semua bangsa yang berbudaya dan bertamadun. Karya seni yang akrab dengan perasaan serta akal budi sesebuah negara menceritakan kekayaan kemanusiaan,imaginasi, dan daya kreatif masyarakat atau manusia penduduknya.

Akal budi, kekreatifan dan sifat-sifat halus terhadap alam, kehidupan dan persekitaran adalah sebahagian daripada sifat-sifat insan yang harus terus dibangun dan disuburkan bagi mewujudkan masyarakat yang penyayang; bukan masyarakat yang kebendaan, rakus, tamak haloba dan berjiwa jenayah. Di kalangan pencinta seni dan orang kreatif pun tidak tentu terjamin sopan santun dan timbang rasanya terhadap makhluk lain, apalagi kalau penduduk dihasut fikirannya untuk mengejar duit, mengejar pangkat, dan berebut kedudukan serta kekuasaan.Inilah mala petaka kemanusiaan yang sedang merayap di hati-hati segelintir penduduk sampai sanggup membunuh bayi yang masih belum sempat menuyusu, menyembelih ayah dan ibu yang membesarkan anaknya dengan segala kasih sayang sejak tapak kaki si anak sebesar dua tiga jari. MasyaAllah apa bala yang telah menimpa masyarakat modern di kota dan desa kita.

Meskipun semakin ramai yang mentarbiah penduduk supaya bersolat, membetulkan solat, berzakat, berpuasa,dan berbuat baik sesama Islam ( suatu usaha dakwah yang patut terus digerakkan), tetapi terasa usaha-usaha ini berdepan dengan gelombang besar
yang mengalahkan sekalian jerih payah kalau keterlanjuran sosial (judi,arak,riba,dan nafsu besar terhadap pangkat, pendapatan besar, kecemarlangan individu etc)tidak dibahaskan, dan terus menerkam jiwa pelajar, generasi baru dan malah orang dewasa.

Kesenian, kebudayaan,ilmu, pendidikan, dan kemahiran semua diarahkan untuk kepentingan perniagaan. Lihat bagaimana institusi pendidikan swasta, dan hospital swasta dibangunkan bukan demi pendidikan dan kesihatan , tetapi demi keuntungan.

Inikah yang hendak kita jadikan identiti, jati diri, dan sifat-sifat manusia Malaysia ? Justru itu usaha penciptaan seni sastera, visual, persembahan, filem
dan literasi pembacaan mahu tidak mahu, tanpa pilihan lagi, harus disuburkan bagi mengimbangi kehidupan material, pendapatan tinggi, teknologi, dan perbankan yang bersama-sama menghakis moral dan etika, adab sopan, dan alam sekitar ( lihat pembalakan haram yang bermodal besar berlaku di mana-mana di bawah hidung pentadbir dan menteri ).

Negara kita sudah terlambat merancangkan terbentuknya masyarakat yang penyayang, berseni budaya, dan beragama.Bilakah belanjawan negara, perancangan lima tahun, dan model-model ekonomi kita melonjakkan tema perancangan besar tentang membentuk masyarakat yang berperikemanusiaan ?

Wahai para pemimpin yang berkuasa, mari kita bersama memperkuat mantapkan institusi
sosial yang mempertahankan alam dan melestarikan kehidupan yang manusiawi. Kementerian pembangunan masyarakat jangan menjadi kementerian tambahan atau sampingan semata-mata.Pemimpin politik dan pemimpin perkhidmatan awam dituntut memperhebatkan imaginasi dan kreativiti mental masing-masing bagi menjawab isu-isu
sosial hari ini.

Saturday 17 April 2010

H U J A N

ALAM TERANG BENDERANG , DAN , PANAS MENGGIGIT SEBELUM
HUJAN



Hujan mencurah
kolam bunting melempah
daun-daun kuyup
titisan berjurai
bising di sekeliling
aku termangu
mengenangmu.

Alam bersih indah
dingin menghijau
angin kencang
menerkam
sepi di dalam.

Hujan
aku pilu sendirian
membayangkan
kalau engkau pergi
tiada kembali lagi


Baha Zain
17 April 2010

Saturday 27 March 2010

TUHAN, AKU MENGADAPMU

[ Tadi siang saya telah membacakan sebuah puisi yang diikuti dengan menyempurnakan pelancaran antologi puisi " Dari Jendela Zaman Ini" yang memuatkan karya penyair-penyair Malaysia dan Singapura, terbitan bersama ITNM, PENA dan National Arts Council Singapura.
Puisi-puisi Malaysia telah disusun dan diperkenalkan oleh Sdr Shamsuddin Othman, Penolong Setiausaha PENA. Acara itu berlangsung di depan puluhan pasang mata penulis dan rakyat biasa
di gerai pameran ITNM sempena Pameran Buku Antarabangsa di PWTC.

Sejak seminggu yang lalu saya betul-betul terhantar di tengah-tengah lampu majlis yang terang benderang di depan khalayak ratusan manusia. Saya tidak pernah menyangka ( malahan selalu menjauhi cahaya-cahaya lampu yang menyorot seperti menelanjangi peribadi saya) semua ini berlaku dengan pantas beberapa kali dalam jangka waktu yang singkat.

Sekembali ke rumah, saya termenung, dan berasa insaf bahawa apabila ditentukan sesuatu atas diri kita , buruk atau baik, tidaklah dapat dielakkan walaupun berlebihan rasanya apa yang buruk atau yang baik itu. Selama seminggu dua ini saya juga tiba-tiba bertembung dengan pelbagai kesulitan; dan sepantas itu juga datang pertolongan yang tak terduga sewaktu saya sedang terpinga-pinga bingung. Mengingat betapa banyaknya rahmat, kebaikan dan kasih sayang Tuhan saya resah terpanggil secara spontan menulis puisi di bawah untuk berkongsi perasaan dengan orang lain]

Manusia mengidamkan kesempurnaan,
tetapi dia bukan Tuhan.
Kalau manusia terlanjur melakukan kesilapan
dia patut memohon maaf, dan dimaafkan.

Manusia selalu mencari kemuliaan,
maka dia diberi rahmat dan kemasyhuran.
Dia telah menerima terlalu banyak,
sehingga terlupa saja mengucapkan:
" Syukur".

Tuhan ! aku datang lagi,
mengadap-Mu.
Kali ini,
dengan air mata,
sebak tergenang,
di dada
.


Baha Zain

Tuesday 23 March 2010

INVICTUS dan NELSON MANDELA

Bayangkan selama 27 tahun Mandela dijerumuskan ke dalam penjara kerana perjuangannya menentang apartheid di Afrika Selatan. Dia tidak mengalah, berdegil dan keras berpegang kepada prinsip perjuangan idealismenya. Salah satu inspirasi yang memperkukuh kedegilannya , dan memelihara dirinya daripada menjual jiwa ( soul ) kepada pihak yang berkuasa di atas ialah puisi berjudul "INVICTUS " oleh Henley.

Out of the night that covers me,
Black as the Pit from pole to pole,
I thank whatever gods may be

for my unconquerable soul.

In the full clutch of circumstance
I have not winced nor cried aloud.
Under the bludgeonings of chance
My head is bloody but unbowed.


Beyond this place of wrath and tears
Looms but the hour of the shade,
And yet the menace of the years

Finds, and shall find, me unafraid.

It matters not how strait the gate,
How charged with punishments the scroll
I am the master of my fate
I am the captain of my soul.

William Ernest Henley








Tuesday 16 February 2010

DEMI WAKTU BUNGA BERKEMBANG atau MENYEBARKAN BAU

Bunga Kembang Pagi


Apakah sebabnya bunga-bunga ini mulai mengembang pada sebelah pagi sekitar jam 8.00; dan saat tiba tengah hari sekitar jam 1.00 semuanya menguncup kembali? Aneh! seolah-olah ia meraikan siraman cahaya pagi, menyerikan pemandangan agar manusia melihat dunia dan kehidupan dengan penuh ceria dan optimis. Ada yang menamakannya dalam bahasa Inggeris sebagai "Eight O'clock Flowers" kerana mengigatkan faktor waktu lebih daripada faktor cahaya.
Bunga "Sundal Malam" pula yang juga berwarna putih kekuningan
akan hanya berbau sangat wangi sesudah terbenamnya matahari, yakni sesudah hilangnya cahaya dan hari menjadi gelap. Tidak kurang anehnya, seolah-olah ia menyegarkan sanubari manusia supaya duduk tafakur dan bersyukur kerana telah selamat mencari rezeki sehari suntuk dalam keringat dan jerih payah.
Apakah cahaya mempunyai peranan yang besar membangkitkan kejadian alam semula jadi ini?
Apakah rahsia yang sebenarnya? Betullah sebagai yang sering diperingatkan bahawa semua tanda-tanda alam itu adalah bayangan daripada zat dan kudrat Allah yang sangat cinta kepada kita semua sehingga pohon-pohon dan bunga-bunganya pun turut menceria dan memperkaya
mata serta sanubari makhluk yang sering sibuk di kulit bumi-Nya.
" Tak ada waktu untuk bertanya,
Merenung dan menyendiri,
Menyepi dan menyelam ke dalam hati,
Di manakah aku sekarang ini?

Wednesday 27 January 2010

KALAU SEPATU BOLEH BERSUARA MANUSIA MENDENGAR KEAJAIBAN DUNIA

kasut oh! kasut,
sejak bila kau dipanggil kasut,
dan sejak bila Malayia memakai kasut?

Ini adalah gambar yang sedikit aneh. Berpasang-pasang kasut disusun dan digambar secara terlanjang, tanpa pemakainya. Apakah yang diceritakan oleh gambar ini, dan apa tujuan penyusunnya? Setiap gambar namun mempunyai bahasanya; dan tidak sama dimengertikan oleh penontonnya.

Orang tahu hanya satu: kasut untuk menjadi lapik tapak kaki bagi tujuan memelihara kaki sewaktu berjalan. Kasut telah memperkembangkan falsafahnya lebih daripada hanya sekadar lapik tapak kaki. Kasut telah beratus-ratus tahun menjelma dalam pelbagai wajah di tengah ladang pertanian, di tengah hutan, di medan perang, di bilik kuliah universiti, di atas permaidani istana, di lantai-lantai parlimen, dan di atas lantai marmar gereja ( kecuali di lantai marmar masjid ). Kalau kasut boleh bercakap ia akan menceritakan pengalamannya masuk ke kamar-kamar pelacur, ke bilik-bilik judi, ke bilik tali gantung, ke bilik soal siasat rahsia, dan ke rumah-rumah gerakan pemberontak . Kasut-kasut di atas diam membisu dlm satu
bingkai gambar empat segi yang biasa. Gambar hitam putih atau berwarna selalu neutral dan tidak memihak , baik kepada subjek gambar mahupun kepada penatapnya. Gambar adalah sebuah pernyataan yang pendiam meskipun memendam
keajaiban.

Penatapnya barangkali seorang professor, mubaligh atau seorang kanak-kanak perempuan tadika. Sedarkah dia bahawa berapa ribuan lembu, kambing, ular dan buaya telah dibunuh dan digunakan kulitnya untuk mencipta kasut yang pelbagai fesyen? Pembunuhan ini menjadi perlu untuk memenuhi matlamat keuntungan industri, selera estetik manusia, dan memuaskan keghairahannya terhadap simbol status yang terhormat di mata masyarakat. Bolehkah kita anggap kejadian seperti ini sebagai kitar semula alam dalam gagasan teknologi hijau?

Apa yang saya beberkan di sini sekilas pandang sebagai remeh saja. Betulkah begitu? Mungkin juga betul. Tidak ! setiap gambar ada bahasa anggotanya atau body language tersendiri. Ada makna budayanya , dan marilah kita cari pengertian dan pertalian budaya itu kerana setiap hari siang dan malam kita diperguk ( mahu tidak mahu) oleh gambaran-gambaran, imej dan citra di dalam dan di luar rumah. Kita sedang dikepung oleh bayangan, maya dan gambaran dan boleh luluh di dalam dakapannya yang mengasyikkan.

Tentulah saudara sendiri seronok melihat wajah dan peribadi anda di dalam gambar , terutama kalau terbit di akhbar atau majalah;tidak kira sama ada akhbar atau majalah itu akhirnya akan sampai kepada hujung hayatnya menjadi pembungkus barang jualan seludup di lorong belakang Jalan Chow Kit atau Petaling Street.

Tuesday 12 January 2010

sebuah gambar adalah sejumlah kisah

Apakah yang kau fikirkan tentang alam dan kehidupan ?



Gambar boleh tiba-tiba menghantar kita ke zaman kanak-kanak puluhan tahun dahulu --pengalaman yang tak mempersoalkan derita ,dosa, kesepian dan kegetiran hidup. Lihat menungannya seperti jauh tak bertepi, hanya ditemani longgokan batu keras seolah-olah batu itu lebih dipercayai sebagai teman yang setia dan selamat . Apakah yang difikirkannya; dan apakah yang diharapkannya ? Apakah dia berfikir seperti kita berfikir dan mengharapkan sesuatu seperti kita berharapkan sesuatu pada masa depan. Dia tidak disusahkan oleh keinginan masa depan, dia lebih realistik terhadap keperluannya . Hanya sahaja dia beristirihat sebentar kerana istirihat itu adalah kemewahan dan kebahagian yang benar-benar menyenangkannya. Dia tidak rungsing dalam waktu termenung dan diam . Tidak seperti manusia dewasanya yang tak pernah berperasaan aman meskipun dalam diam di tengah-tengah alam hijau yang tenang.

Ini adalah wajah yang tak mungkin kita miliki lagi baik secara jasmaniah mahupun secara rohaniah. Ini adalah wajah kehidupan yang telah lama meninggalkan kita kerana kita telah meninggalkannya di belakang. Lihat tangan dan jari-jarinya yang terletak akrab dan relaks di atas batu keras yang berusia entah berapa jutaan tahun lamanya- sebuah kejadian alam yang demikian panjang sejarahnya yang didakap mesra seorang anak kecil yang hanya baru dua tahun usianya. Dia tidak mengetahuinya kerana fikirannya dan perasannya tidak dibebankan untuk memikirkan keadaan alam serta kehidupan rumit di sekelilingnya. Masalah itu adalah masalah kita yang seolah-olah terhantar menyelesaikan kemelut rumit dunia ini.

Monday 4 January 2010

F A J A R S I D I K : Antara Benang Putih dan Benang Hitam

Cahaya fajar sidik yang diabadikan melalui kamera sewaktu penerbangan ke Korea Selatan pada malam hujung Mei 2009

"...Makan dan minumlah hingga jelas bagimu (perbedaan) antara benang putih dan benang hitam, yaitu fajar..." ( Al-Baqarah: 187 )

_______________________ ***** _______________________________

Puisi Pagi

( Sesudah Pecah Fajar, Sebelum Pagi Meninggi)

Sesudah pecah fajar

pada hujung dinihari,

azan dan kokok ayam menyepi,

pohon mempelam berbalam-balam,

burung-burung terjun ke bumi,

sihir pagi beransur hadir:

jernih dan dingin

aman dan hening.

Kenapa aku termenung

diselubungi sepi,

tanpa hasrat dan mimpi.

Apakah sudah kau lengkapi hatiku,

tenteram menunggu,

tanpa keluh dan keinginan baru.

Baha Zain

Friday 1 January 2010

BULAN MEMBURU MATAHARI, MATAHARI MEMBURU BULAN

* Demikianlah kerana Allah (kuasa) memasukkan malam ke dalam siang dan memasukkan siang ke dalam malam, dan sungguh, Allah Maha Mendengar, Maha Melihat*
(22:61)
Terapung bulan, matahari dan bintang,
Terang, menghilang dalam ruang,
Tak terjangkau jari dan tangan,
Terpinga-pinga dalam bayang.
Malam memburu siang,
Siang mengendap malam,
Seperti kekasih yang merindu,
Di atas ranjang sepi dan pilu.
Hari bergilir hari
Silih berganti
menghitung waktu
tahun dan wujudku.
1 Januari 2010