Monday 19 January 2015

KEUTAMAAN KESENIAN SEMASA; PANGGILAN HATI NURANI

MASYARAKAT dikejutkan dengan banyak krisis akhir-akhir ini.  Sepanjang setahun yang lalu rentetan tiga tragedi besar pesawat udara mengurbankan ratusan jiwa; dan  tahun 2015 dimulai dengan banjir besar yang luar biasa, bencana yang dideritai ribuan rakyat. Yang paling terpukul ialah penduduk Melayu/bumiputera yang keadaan ekonominya memang lebih mundur daripada kaum lain.

Dengan bencana banjir ini mangsa yang ditimpa kemalangan menjadi lebih merosot ekonominya apabila harta benda yang ada musnah, dan untuk mengumpul semuanya itu lagi akan memakan waktu bertahun-tahun lamanya . Faktor ketidakadilan ekonomi yang sedia menjarakkan keadilan sosial antara Bumiputera dengan bukan Bumiputera menjadi lebih parah dan terus berpanjangan.

Cendekiawan, seniman dan penulis nampaknya perlu kembali kepada nilai-nilai perjuangan yang memihak kepada "Seni untuk Rakyat dan Negara", yakni menilai apakah sekalian kegiatan kesenian itu ada gunanya kepada kepentingan utama bangsa, khususnya membangunkan fikiran kritis , kreatif dan progresif di kalangan masyarakat.

 Seniman perlu menaksir atau menilai apakah persekitarannya: alam, agensi awam, pemimpin pelbagai lapangan, NGO dan lain-lain bergiat untuk kesejahteraan alam, sosial dan negara pada umumnya ( bukan untuk kepuasan diri, puak dan organisasi masing-masing sahaja).

Para penulis perlu meneliti alam persekitaran dan kehidupan di dalamnya kerana dari situlah penulis menimba ilham, pengajaran dan malahan tanda serta isyarat tentang kedurjanaan manusia terhadap manusia lain. Khususnya bagi kita di Malaysia antara negara-negara di tropika yang Allah limpahkan dengan hutan rimba yang luar biasa kayanya dengan biodiversiti, air hujan yang banyak, kayu kayan dan makhluk hidup yang beraneka ragam (jangan lupa gas dan minyak yang terpendam),tetapi  kenapakah telah berlaku ketidakcukupan air bersih , penggondolan muka bumi, pencurian minyak disel, dan kemiskinan yang meluas di negeri-negeri tertentu, dan di daerah-daerah luar bandar. Di mana salahnya.

 Kenapa masih tidak terselesaikan kesenjangan peratus pemilikan hartanah, pemilikan syer korporat, pendapatan dan kedudukan profesional antara Bumiputera dengan bukan Bumiputera? Barangkali statistik di tangan saya sudah banyak berubah ke arah kemajuan. Mudah-mudah begitulah.

Kita tidak boleh menyalahkan orang lain sedangkan sekalian pusat kekuasaan pemerintahan negara, pentadbiran, politik, ketenteraan, perundangan yang penting itu berada dalam genggaman tangan Bumiputera. Aneh!

Ada sesuatu yang tak kena dalam kebudayaan, nilai-nilai, mental , sikap dan fikiran masyarakat Melayu kita. Inilah yang harus menjadi cabaran ; dan inilah isu yang perlu dibangkitkan semula setelah kita - terutama para seniman - hanyut demikian jauhnya.

Sesudah sekalian malapetaka dan bencana itu, ini adalah saat untuk bermuhasabah dan menilai kesenimanan kita. 






memang begkawasan luar bandar 

Thursday 1 January 2015

SIKAP KESENIAN TAHUN 2015

KITA memasuki 2015 dengan perasaan yang murung kerana 2014 yang baru dilepaskan penuh dengan kemelut dan ketidaktentuan. Namun banyak pengalaman dan pengajaran yang dapat ditimba untuk menjadi bekal bagi menghadapi tahun baharu ini.

 Langkah pertama ialah membina azam bahawa penulis, seniman dan pengamal media harus mengambil pendirian untuk menyumbang mensejahterakan kehidupan masyarakat .

Salah satu pelajaran yang kita perolehi daripada peristiwa musibah bencana banjir ialah disamping faktor alam semula jadi , ada faktor kedurjanaan dan kelalaian yang dilakukan oleh manusia terhadap persekitarannya. Negara-negara besar  yang sedang pesat perkembangan industri dan ekonominya  (seperti Amerika dan China) adalah negara yang paling banyak melepaskan pencemaran karbon dioksida ke udara dunia sehingga mencemarkan alam dan memanaskan dunia.

Penduduk Malaysia juga tidak kurang durjananya apabila menumbangkan hutan belantara dan mengikis permukaan bumi sehingga berlakunya hakisan dan mencetekkan parit dan sungai. Lihat contoh jelas di Cameron Highlands dan di negeri-negeri lain sehingga negeri-negeri kediaman majoriti Melayu menderita teruk dan memiskinkan lagi masyarakat Melayu yang memang sudah ketinggalan bebanding kaum lain.

Sekarang tibalah waktunya para seniman, pencipta dan penulis menggerakkan kesedaran hebat bagi mengingatkan masyarakat, pemimpin, pentadbir, pedagang dan tokoh-tokoh politik bahawa budaya kebiadaban terhadap alam ini mesti dicegah dan diberhentikan .Tokoh-tokoh negara mesti mengambil inisiatif mengawal alam dan hutan rimba Malaysia.

Pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar yang hijau,  udara dan air mesti menjadi agenda para penulis , penyair, dramatis, penyanyi, pelakon dan cendekiawan.Ini adalah tugas kita yang penting pada tahun ini dan seterusnya. Keadilan terhadap alam sekitar mesti menjadi agenda politik seni hari ini mengingat bahawa kita telah diamanahkan oleh Tuhan untuk memakmurkan alam semesta .

Apakah yang perlu kita semua lakukan segera?