Sunday 20 December 2009

Dari Petrtemuan ke Jenjang Pelamin/ Dari Jodoh Ke Cinta Takwa

Bagai kejadian di syurga,
Bagai kerinduan di dunia,
Bagai pertemuan di Jabal Rahmah,
Kisah tersurat menjadi sejarah.
Bagai Adam dan Hawa,
Bagai lebah dan bunga,
Jodoh tersirat menjadi nyata.

Perkahwinan adalah bahtera yang sakti,
Belayar dari tanjung ke tanjung,
Dari teluk ke teluk, dari pulau ke pulau,
Dilambung ombak, gelora dan badai,
Dimandi sinar, didinginkan gerimis dan angin.
Datanglah seribu fajar dan senja !
Datanglah seribu duka dan duga!
Kami berdiri tegak di depan-MU,
Cinta dan takwa menjadi nakhoda.

Rumah tangga adalah pelabuhan,
Di situ bermulanya zaman depan,
Generasi pedagang, ilmuwan dan pejuang,
Di situlah juga terhimpunnya amanah,
Tanggungjawab dan hati nurani,
Pengorbanan dan tugas suami isteri.

Belayarlah dalam pengembaraan yang panjang,
Seperti kata peribahasa:gigi dan lidah lagi tergigit,
Inikan pula suami isteri.

Seperti kata pantun Melayu:
Terbang unggas di pohon mempelam
Bunga senduduk berwarna ungu;
Yang melukakan jangan dipendam
Yang ceria dibelai selalu.
Banyak belanak berenang ke kuala
Hanya seekor dapat dijala;
Anak cucu anugerah di dunia
Doa yang soleh sampai ke syurga.

Sudahi Bismillah dengan selawat
Sudahi zakat dengan haji;
Bina keluarga ikut syariat
Hidup berkat suami isteri.

Demikianlah ada suatu jiwa bersendirian,
Dan suatu lagi yang kesepian,
Bercantum jadi satu,
Seperti daun di dahan,
Dan pantai dengan lautan.

Baha Zain
3 Muharam 1431/20 Disember 2009.

Wednesday 9 December 2009

TENTANG KESENDIRIAN & KESEPIAN

Ada waktunya kita berasa sepi meskipun di tengah-tengah orang ramai. Ada waktunya kita ingin bersendirian untuk merenung, bermimpi dan melayani kerinduan yang mendalam. Tentang perasaan sepi dan keseorangan sering menghantui seniman yang bergelut dengan waktu, ruang dan peristiwa. Tentulah kita semua pun selalu terhantar ke dalam keadaan yang rusuh itu.

"Bahasa kita telah dapat merasakan dua sudut daripada keadaan yang bersendirian. Ia telah menciptakan perkataan 'kesepian' untuk mengungkapkan kepedihan kerana keseorangan. Dan ia telah menciptakan perkataan ' kesendirian' untuk mengungkapkan
kenikmatan kerana keseorangan."--Paul Tillich

" Alangkah seronoknya mengetahui betapa tidak kesepian bila berada seorang diri"--Ellen Burstyn.

" Dengarkanlah bisikan hati yang sayup dari dalam diri tatkala kita bersendirian, dan kita akan mendengar suara yang lebih murni daripada yang sering kita dengar sewaktu dalam kesibukan.Barangkali dalam kesendirian yang seperti itu kita dapat juga memahami suara jujur dan mulus daripada orang lain." --Baha Zain

Sunday 6 December 2009

KUEH NYONYA & IBU

Pada gedung mewah itu
mengambang bau pandan.
Kueh nyonya tersusun rapi,
cantik berwarna warni.
Teringat aku buah hulu kemboja,
kueh kacau, dan seri muka,
air tangan ibu, puluhan tahun dahulu.

Bau ekspresso juga mengambang di udara.
Sepasang kekasih mabuk bercinta,
cawan kopinya bersindirian di meja.
Aku teringatkan teh o tanpa gula
dalam teko hijau dari Cina,
setiap hari menunggu di dapur.
Ibuku tahu kami selalu dahaga,
dan teko itu untuk seluruh keluarga;
harus ditambah airnya bagi
menggantikan keringat yang sejat.

Bau ekspresso yang harum
membuat aku rindu pada ibu,
dan kasihan yang berpanjangan.

Ibu adalah mawar,
dan segala-galanya
yang bernama bunga.


BahaZain
Awal Disember 09.

Saturday 28 November 2009

MENCIPTA PUISI

Sering datang pertanyaan bagaimana mencipta puisi. Bukan mudah untuk mengajar orang menulis puisi. Walau bagaimana pun bolehlah dinyatakan beberapa sifat bentuk bahasa puisi itu yang berbeza daripada prosa.

Biasanya puisi berada dalam rangkap-rangkap seperti pantun. Memang pantun itu adalah ciptaan yang luar biasa -- di dunia -- sebagai ciptaan seni puisi. Pantun menjadi warisan kebanggaan bangsa Melayu sejak zaman budaya lisan hingga ke zaman budaya cetakan dan budaya maya pada hari ini.

Meskipun puisi itu wujud dalam rangkap-rangkap tertentu, namun prosa yang dipotong-potong ayatnya dan disusun dalam beberapa rangkap tidaklah boleh dianggap sebagai puisi. Kegiatan pembacaan puisi yang diperdengarkan cenderung mempengaruhi penulis mengarang prosa yang dibacakan seperti puisi. Malahan banyak sekali karya yang terbit dikatakan puisi, tetapi setelah disambung-sambung baris-barisnya jelas ia adalah prosa yang lengkap. Kesilapan ini bukan sahaja dilakukan oleh bakat baru, malahan pengarang-pengarang terkenal pun melakukannya.

Antara ciri-ciri pengucapan atau retorik yang terdapat pada puisi ialah :
i) Metafora ( contoh-- "kehidupan adalah suatu kembara");
ii) Personifikasi ( " Kesedihanku menjerit pilu")
iii)Metonimi ( "Putra Jaya " nama ganti bagi kerajaan )
iv) Ironi ( gambaran yang diberikan kebalikan daripada yang dijangka)
v) Aliterasi ( pengulangan konsonan " kalau kukatakan kepada sekalian kawan kita")
vi)Asonansi (pengulangan bunyi vokal "apa maknanya segala cinta yang durjana")

Demikianlah kiranya antara sifat-sifat yang membezakan sebuah puisi (terutama puisi lirik) daripada sebuah naratif atau cerita yang memiliki teks yang lebih panjang.

Monday 9 November 2009

KELAKAR BARU 1 MALAYSIA

Sekumpulan tiga orang sahabat dari Kuantan melancong ke Afrika, konon untuk mencari hiburan luar biasa sambil meninjau-ninjau peluang berniaga.Ong, Subra dan Mat entah macam mana melanggar peraturan masyarakat di bandar Bodo-Bodo, Afrika, yang masih dikuasi oleh kepala suku kaum keturunan asli bandar itu. Segala wang dan kepunyaan mereka dirampas, dan ketiga-tiga mereka dipenjara pada penjara di tepi jalan terdedah kepada lalu lintas orang, menurut adat tradisi di situ.

Mereka hanya diberi minum tanpa makan dua kali sehari supaya jangan mati. Untuk makan
terpulang pada belas kasihan yang lalu lalang saja. Penduduk setempat pun ramai yang terpenjara, tetapi pada petak-petak berlainan di sepanjang jalan yang sama.

Setelah tiga hari berlangsung mereka menjadi semakin tersiksa lapar, dan hampir tak ada orang yang mahu melemparkan makanan kepada orang yang terpenjara di situ. Mereka bertiga harus berbuat sesuatu untuk mendapat perhatian dan makanan daripada pejalan kaki di luar atau apa-apa pertolongan lain.

Pada hari kelima Ong telah menyusun beberapa patung kecil yang terbuat daripada tanah liat yang dikencingnya terlebih dahulu supaya menjadi lebih lembut dan boleh dibentuk-bentuk menjadi patung permainan anak-anak. Ong meletakkannya di antara jerjak-jerjak penjaranya untuk menarik perhatian supaya dibeli oleh sesiapa yang lalu lintas di situ. Pada hari pertama sahaja Ong telah memperoleh cukup wang untuk membeli makanan.

Di penjara sebelah Subra dengan kedua-dua tangannya yang longlai menadah tapak tangan
sehingga ke luar jerjak penjara meminta sedekah dari pejalan kaki di luarnya. Apakah yang terjadi pada sahabatnya yang bernama , Mat? Subra tidak tahu kerana antara mereka ada dinding, dan Subra pun tak berminat untuk ambil tahu tentang Ong atau Mat dalam keadaan krisis itu kerana dia sendiri lesu teruk kelaparan seperti akan mati bila-bila masa saja.

Di bilik penjara yang ketiga Mat hanya duduk seperti tak bermaya bertafakur di tengah-tengah penjara itu menadah tangan ke langit meminta doa supaya orang kasihan dan datang membebaskannya.

Demikianlah sebuah cerita 1 Malaysia yang dikirimkan lagi kepada saya seolah-olah untuk saya mengatawakan diri sendiri. Saya hanya memujuk hati dengan berkata: hanya orang yang dewasa sikapnya yang bersedia mengatawakan dirinya sendiri.Bagaimanapun terserahlah kepada saudara untuk mentafsirkan kelakar 1 Malaysia ini.

Sunday 1 November 2009

KELAKAR SATU MALAYSIA

Seorang teman dari Singapura mengirim e-mel sebuah anekdot kelakar 1 Malaysia. Kira-kira begini terjemahannya:

Sebuah kereta yang membawa tiga rakyat Malaysia( Melayu, Cina, India) tiba-tiba terlibat dalam kemalangan yang dahsyat , dan ketiga-tiga penumpang mati sama-sama dengan serta merta. Di bilik mayat hospital doktor melakukan pemeriksaan biasa bagi mengesahkan kematian dan melebalkan nama masing-masing pada ibu jari kaki. Pada saat sang doktor mengikat label nama pada jari kaki mayat mangsa Cina, tiba-tiba dia bergerak dan hidup. Doktor yang kehairanan dan gementar bertanya apa yang telah terjadi.

Simati Cina itu menerangkan ketiga-tiga roh mereka telah sampai ke pintu neraka, tetapi malaikat memberi peluang kepadanya untuk pulang ke dunia dengan membayar wang tebusan $500 seorang. Jadi katanya dia menyeluk sakunya tanpa bertangguh-tangguh lagi dan menyudurkannya ke dalam genggaman malaikat.

Sang doktor lalu bertanya apa yang tejadi kepada dua kawannya . Katanya teman Indianya
sedang tawar menawar untuk meminta dikurangkan bayaran. Doktor terus bertanya bagaimana pula tentang kawan Melayunya. Jawabnya ringkas, teman Melayunya itu sedang menunggu
dana daripada kerajaan .

Nah, nampak seperti bergurau senda, tetapi tafsirkanlah persepsi tukang cerita ini.

Wednesday 14 October 2009

KESAKTIAN KATA-KATA

Kata-kata menjadi bahasa. Bahasa menjadi alat bagi manusia menjalani kehidupannya. Melalui bahasa manusia menghubungi manusia lain; membina dirinya dan membangunkan dunia di sekelilingnya.

Ada kata-kata yang mengecewa dan menyedihkan, tetapi tidak kurang pula ada ungkapan kata-kata yang merangsang dan menggerakkan hati, perasaan serta membijakkan fikiran :

1. " Manusia bijak bercakap kerana ada sesuatu yang hendak dicakapkannya; si badut, sekadar hendak bercakap".-(Mark Twain)

2." Sesetengah orang menyebabkan peristiwa belaku, sesetengah orang menyaksikan peristiwa berlaku, dan sesetengah orang kebingungan apa yang berlaku". ( Tanpa nama )

3." Tak ada seorang pun antara kita yang sepandai semua kita"' (peribahasa Jepun)

4." Kalau kita mahu makmur setahun, tanamlah bijian,
kalau mahu makmur sepuluh tahun, tanamlah pokok,
kalau mahu makmur seratus tahun, besarkanlah penduduk." (Peribahasa Cina).

5" Bodoh-bodoh sepat, tak makan pancing emas." (Peribahasa Melayu).

6. " Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian;
Berdikit-dikit dahulu, bersenang-senang kemudian". (Peribahasa Melayu).

Tafsirkanlah.

Kesaktian bahasa Melayu ialah keupayaannya memindahkan kebijakan fikiran serta pengalaman manusia dunia ke dalam tubuh badannya sendiri sehingga mampu menjadi bahasa yang sakti untuk memperkuat sikap mental bangsanya .

Friday 2 October 2009

PUASA , PUISI & KESUNYIAN PENULIS

Selamat bertemu kembali. Kalau sepanjang Ramadan kita sibuk menahan diri daripada larangan seraya melakukan ibadat yang digalakkan ; Syawal ini ramai antara kita sibuk pula meraikan bulan yang mulia atau melakukan puasa enam.

Pada awal Ramadan baru-baru ini, saya berhasrat untuk mencipta sebuah puisi setiap hari, suatu cita-cita yang tak pernah saya lakukan sepanjang hayat sebelumnya. Saya berasa yakin dapat melakukannya, tetapi apa yang terjadi tidaklah sebagaimana yang dibayangkan. Pada akhirnya selesai Ramadan dengan takbir yang berkumandang pada malam hari ke-29, saya hanya berhasil menciPta sepuluh puisi sahaja.

Saya menjadi lebih insaf akan hakikat bahawa menulis puisi itu tidak selalu bergantung kepada hasrat dan kemahuan yang keras , tetapi harus bercambah dalam hati serta perasaan sehingga dibelai dan dibesarkan oleh ketekunan. Semua ini hanya bisa terjadi apabila perasaan itu adalah perasaan yang jujur, yang bukan diada-adakan, kerana kata-kata yang mengandungi perasaan ( baik perasaan spontan atau perasaan tentang sesuatu fikiran ) hanya akan datang menziarahi kreativiti manusia pada saat dia jujur dengan batinnya. Puisi, justeru adalah pengucapan penyair dalam kesunyiannya.

Friday 18 September 2009

PANTUN KETUHANAN

Seorang teman akrab sepanjang Ramadan ini telah mengirim SMS mengungkapkan
pengembaraan rohaninya pada bulan al-Mubarak yang sangat mulia serta dengan rahmat lailatul Qadar-Nya. Semoga kita telah mendapat ganjaran daripada puasa dan menjadi orang yang bertakwa.

Kata Nilon dalam SMS yang dikirimnya:

(1)

Kilat petir berdentum hujan,
Gerimis sekejap tenggelam telaga,
Hangat takbir meranum ganjaran,
Manis disantap dalam syurga.

(2)

Meninggi zaitun di bukit Aqsa
Batu berbelah akar melata,
Menerusi pantun kucurah rasa,
Merindu Allah dalam air mata.

(3)

Pegaga melata di tepi rimba,
Rimba dara hijau terserlah,
Syurga dicipta untuk hamba,
Hamba dicipta untuk Allah.

Sehari sebelum Ramadan tiba Nilon mengirim SMS yang pertama. Katanya kira-kira begini:
" Ibadat itu nikmat kalau engkau tahu Allah mencintaimu. Ibadat itu penat kalau engkau tahu Allah memerintahmu" seperti yang pernah saya paparkan beberapa waktu yang lalu.

Betul juga katanya kerana sering kita berdoa bermacam-macam untuk kejayaan, kesejahteraan, kekayaan, harta , nama dan untuk masuk syurga, tetapi kita lupa untuk merapati dan mengenal Allah melalui kalam-Nya.

S E L A M A T B E R H A R I R A Y A

Sunday 13 September 2009

SALAM IDILFITRI YANG MURNI

Assalamulaikum dan Salam Sejahtera,

Kepada setiap saudara pengikut (follower) yang terpapar di Kebuncipta ; dan sekalian pengunjung yang sudi melawat ke kebun yang sama,
saya dengan tulus menjunjung ucapan setinggi terima kasih, dan mengucapkan Selamat Berpuasa & Berhari Raya seraya mengambil kesempatan untuk memohon dan memberi maaf .

Meskipun tak bersua, tetapi mata serta hati kita diam-diam menatap dan membaca
wajah serta kata-kata sebagai tanda perhubungan yang tulus dan murni. Semoga kita akan kembali berhubungan di alam maya yang sakti ini melalui ucapan yang lebih jujur dan murni seperti air yang mengalir daripada kolam yang jernih.


SELAMAT MENCIPTA DAN JUMPA LAGI. INSYAALLAH. SEKALI LAGI SALAM
PERSAHABATAN YANG AKRAB UNTUK SAUDARA.

Friday 4 September 2009

Tuhan! Berpalinglah Kepadaku

Apa yang terdaya kulakukan
hanya puji dan syukur
ke cakerawala lepas,
saujana pandang
bintang-bintang
mengerdip, terang.
Hanya salam
dan selawat
memanjat lidah
tak jemu membaca
kata dan risalah
nama-nama jalan yang lurus
di peta hidup yang rusuh.
Bebaskan aku dari belantara liar
belantara malam, belantara siang.
Jinakkan aku di dusun-Mu yang dingin
gerimis halus, dan sepoi angin.

Terasa lunak di kelam sepi
aku tak ingin terlepas lagi.


7 Ramadan, 1430

Friday 28 August 2009

WAKTU YANG SYAHDU MERENUNG KE DALAM ROHANI

Tentulah tak ada waktu yang lebih syahdu dan hening daripada Ramadan untuk kita menyorot kembali ke dalam pengembaraan perjalanan hidup dengan pelbagai kisah pengalaman suka dukanya. Meskipun puasa sepanjang bulan ini suatu kewajipan yang dituntut oleh Tuhan, tetapi kata seorang sahabat saya , "Tok guru sufi berpesan: Ibadat itu nikmat bila engkau tahu Allah mencintaimu; ibadat itu penat bila engkau tahu Allah memerintahmu. "

Sungguh walaupun diperintah, kita tetap merasa nikmat mengerjakannya mengingat betapa banyaknya rahmat yang telah diberi, dan ganjaran yang akan dianugerahkn berlipat ganda kepada umatnya. Pintu syurga ar-Rayan akan terbuka bagi sesiapa yang berpuasa dengan ikhlas dan jujur. Kalau pada hari lain terasa berat berulang ke tempat solat, tetapi Ramadan meringankan langkah-langkah di bawah suara azan yang menembusi fajar.

JALAN SUBUH KE SURAU KAMI

Subuh itu gerimis
berguguran lembut
dalam temaram.

Kami berjalan perlahan
bermandi gerimis Ramadan
dalam hening disapa azan.

Terasa aman
dan, Amin.

Sunday 23 August 2009

BULAN YANG PUTIH

Sewaktu engkau datang, Ramadan
terdengar gema guruh yang jauh
meskipun hitam, kelam di sekeliling
terhampar sudah lembaran sejarah putih:
turunnya Zabur, Taurat dan Injil
turunnya al-Quran pada malam kebaikan
seribu bulan berhimpun
pada malam yang mewah dengan cinta_Nya,
dengan rahmat, keampunan dan kebebasan dosa-dosa.

Tuhan, terimalah penyerahanku dalam linangan air mata
berpuluh tahun aku mengembara mengejar cahaya fatamorgana
semakin kukejar, semakin jauh jaraknya
semakin banyak yang terhimpun, semakin miskin rasanya
apakah ini rahasia kebesaran-Mu
atau kesesatan liku-liku hidup di dunia?

Kini aku ingin kembali ke fitrah jalanku
berbimbing tangan para anbia dan aulia
di bawah cahaya bulan yang putih
dalam bayang-bayang-Mu.


1 Ramadan 1430 Sabtu 22 Ogos 2009

Friday 14 August 2009

Pada Hujung Waktu

Terasa waktu memburuku
mengajak mengisi detik-detik yang melaju
aku seolah-olah tak berdaya
melangkah di jalan-jalan berdebu.

Apa yang hendak kukesalkan lagi
zaman muda sudah berlalu
itu bahagian daripada kita
sekali datang, sekali pergi
dalam jaga, dalam mimpi.

Kenangan kini menjadi
bahagian daripada sejarah kita,
kenyataan kini menjadi
bahagian daripada wajah kita.



Baha Zain

Monday 10 August 2009

DAYANA ? Makna Sebuah Puisi

Majalah Dewan Sastera Ogos, membawa sebuah puisi dalam ruangan bulanan saya. Sewaktu bertemu pelukis/penyair Daeng Ramli Akil , pada malam Baca Puisi di Rumah Pena , Jumaat malam yang lalu, beliau menyebut tentang puisi itu. Saya tak pasti apa sebenarnya yang disebutnya kerana pada saat yang sama ada puisi sedang diperdengarkan kepada khalayak yang hadir .

Apakah makna sebuah puisi ? Itulah yang sering ditanyakan. Berbeza daripada misalnya memakan sebuah delima , orang tidak bertanyakan makna, tetapi menikmati manisnya. Tidak cukup kah dengan muzik bahasa yang terasa, dan imej yang ditanggapi sewaktu membacanya, sebuah puisi diterima seadanya , tanpa mengetahui maknanya? Di situlah juga terpendamnya rahasia puisi: menemukan keharuan membaca dengan keinginan untuk mengetahui maknanya.
Kedua-dua aspek tersebut menyatu secara utuh bagi sebuah puisi yang menjadi--yang diistilahkan oleh teoritikus seni sebagai suatu konfigurasi atau gestalt kata pengkritik yang mahu menampakkan lebih canggih lagi ilmunya.

"Dayana" diilhamkan oleh Dayana, seorang gadis yang cacat pendengaran, tetapi sangat sensitif
dan keras kemahuannya. Dia hanya berkomunikasi dengan bahasa isyarat atau melalui tulisan menurut gayanya kerana tidak boleh bertutur seperti kebanyakan kita. Hampir setiap minggu
saya menerima sms daripadanya bertanyakan kabar saya serta isteri.

Ada waktunya saya semacam menangis insaf di dalam hati mengenangkan betapa bernasib baiknya kita dianugerahkan Allah dengan kelebihan hidup: melihat, mendengar dan bertutur.

Ada kalanya saya terfikir juga bahawa Dayana terlindung daripada mendengar kata-kata cela, umpat, fitnah dan nista yang sering kita dengar sebagai orang biasa. Selama beberapa tahun kebelakangan ini saya sendiri tercampak ke dalam kedurjanaan mengkritik dan malah menuduh orang berkhianat terhadap bahasa Melayu yang dipinggirkan oleh PPSMI. Dayana barangkali tidak tahu pertikaian ini, dan bersih daripada dosa-dosa kebahasaan itu. Justeru itu saya kira dia lebih aman dan tak diminta untuk memperjuangkan bahasa yang tak pernah didengarnya , dan tak mampu diucapkannya.

Itulah intipati makna daripada puisi "Dayana"

Kini engkau sudah remaja
gadis yang hidup dalam kesepian
sepi, sesepi malam
terbuang daripada kebiasaan
di dunia itu, engkau bersendirian.

Engkau tidak mendengar merdu muzik
ah! betapa merdunya "Bengawan Solo"
betapa lunaknya suara Saloma
mendengdangkan "Selamat Hari Raya"
setiap hati ditimpa ceria.

Engkau termangu dalam diam
mentafsir dunia dengan sepasang mata
menilai dengan gerak hati
percaya pada naluri.

Barangkali engkau lebih bernasib baik
bersih daripada dosa
tidak mendengar fitnah atau cela
yang dibisikkan ke telinga.

Kalau engkau rindu
kalau engkau bersedih
engkau deritai sedalam-dalamnya
tiada siapa yang tahu betapa lukanya
betapa pedihnya.

Kerana engkau sepi
tanpa mendengar sebarang kata
tanpa bernyanyi dan berlagu
engkau tidak mungkin mendengar
cerita tentang bahasa yang terhina.

Dayana! engkau lebih mulia daripada kami
yang boleh bersuara, tetapi dayus dan tak berdaya.

Baha Zain

Wednesday 15 July 2009

Don't Stop Writing/ Jangan Berhenti Menulis

"...I must also say that I like your poetry book very much, especially the poems which are full of anger about our social malaise. I think Malaysia and the Phillipines share a lot of common social and political problems-- corrupt politicians , greedy businessmen, lazy and uncaring educated class etc. Our colonial histories coincide and burden us up to the present. Don't stop writing. The young generation must learn from your passions and mature outlook..."

Demikianlah tulis Rio Alma , penyair Filipina yang telah diisytiharkan oleh kerajaan Filipina sebagai National Artist for Literature. Saya telah menghadiahkan kepadanya kumpulan puisi terjemahan saya (Postponing Truth and Other Poems/ Menangguhkan Kebenaran dan Sajak-sajak Lain) sebagai balasan kepadanya kerana menghadiahkan saya kumpulan puisinya yang dicipta berasaskan bentuk sastera lama Tagalog.

Kadang-kadang kita tidak menyangka puisi apa yang digemari oleh pembaca. Apakah itu penting? Penyair yang menulis untuk mengucapkan perasaan pengalaman dirinya secara jujur, bukan untuk menunjuk-nunjukkan karyanya ( to express and not to impress) besar kemungkinan melahirkan puisi yang bertenaga dan mengikat perhatian.

Saya pun tidak bertujuan untuk mengajar orang apabila menulis puisi, tetapi apabila generasi muda berasa ada sesuatu yang dapat dipelajari daripada penulisan saya, tentu sekali saya berasa gembira berlipat ganda; dan bersyukur kerana telah memberikan sesuatu yang baik disamping berasa lega setelah mencipta sesuatu yang ada kena mengena dengan masalah sosial.

Sunday 5 July 2009

AKU INGIN MENJADI KUNANG-KUNANG

Seekor kunang-kunang
tersesat di pohon berembang
pada malam gelap gelita
berkelip kecil melepaskan cahaya
semakin gelap semakin terang
datang matahari cahaya menghilang
ada engkau seperti tiada
tiada engkau, tetapi ada.

Seekor kunang-kunang
berkelip menembusi malam
seribu kunang-kunang
malam mencair jadi siang.

Aku ingin menjadi kunang-kunang
rumah api, di lautan berkarang.

Baha Zain

Friday 3 July 2009

IMPIAN JULAI: Menemukan Aneka Ciptaan Lewat Kata-kata

Antara anugerah besar daripada Tuhan yang Maha Pencipta adalah kata-kata.
Melalui kata-kata terbina bahasa yang mewajahkan imginasi, impian, hasrat dan gagasan yang tergambar dalam angan-angan, fikiran, dan emosi manusia.

Kata-kata namum boleh menjadi lembing atau belati, boleh menjadi mawar atau cempaka, penawar atau racun berbisa; untuk kehidupan manusia.

Melalui ruang yang terbuka luas ini, kita akan bersama-sama mencari bahasa dengan kata-katanya, membebaskannya seperti cenderawasih di awan untuk menyeberangi sempadan yang remang-remang, malahan mungkin terlalu gelap, supaya kita dapat sampai ke cakerawala yang indah-- barangkali cakerawala itu berada dalam diri kita sendiri-- terpendam, terhimpit dan tak berdaya membebaskan nafas dan cahayanya.

Bacalah dan Ciptalah.



Baha Zain
Jumaat 3 Julai 2009
10 Rejab 1430