Saturday 27 March 2010

TUHAN, AKU MENGADAPMU

[ Tadi siang saya telah membacakan sebuah puisi yang diikuti dengan menyempurnakan pelancaran antologi puisi " Dari Jendela Zaman Ini" yang memuatkan karya penyair-penyair Malaysia dan Singapura, terbitan bersama ITNM, PENA dan National Arts Council Singapura.
Puisi-puisi Malaysia telah disusun dan diperkenalkan oleh Sdr Shamsuddin Othman, Penolong Setiausaha PENA. Acara itu berlangsung di depan puluhan pasang mata penulis dan rakyat biasa
di gerai pameran ITNM sempena Pameran Buku Antarabangsa di PWTC.

Sejak seminggu yang lalu saya betul-betul terhantar di tengah-tengah lampu majlis yang terang benderang di depan khalayak ratusan manusia. Saya tidak pernah menyangka ( malahan selalu menjauhi cahaya-cahaya lampu yang menyorot seperti menelanjangi peribadi saya) semua ini berlaku dengan pantas beberapa kali dalam jangka waktu yang singkat.

Sekembali ke rumah, saya termenung, dan berasa insaf bahawa apabila ditentukan sesuatu atas diri kita , buruk atau baik, tidaklah dapat dielakkan walaupun berlebihan rasanya apa yang buruk atau yang baik itu. Selama seminggu dua ini saya juga tiba-tiba bertembung dengan pelbagai kesulitan; dan sepantas itu juga datang pertolongan yang tak terduga sewaktu saya sedang terpinga-pinga bingung. Mengingat betapa banyaknya rahmat, kebaikan dan kasih sayang Tuhan saya resah terpanggil secara spontan menulis puisi di bawah untuk berkongsi perasaan dengan orang lain]

Manusia mengidamkan kesempurnaan,
tetapi dia bukan Tuhan.
Kalau manusia terlanjur melakukan kesilapan
dia patut memohon maaf, dan dimaafkan.

Manusia selalu mencari kemuliaan,
maka dia diberi rahmat dan kemasyhuran.
Dia telah menerima terlalu banyak,
sehingga terlupa saja mengucapkan:
" Syukur".

Tuhan ! aku datang lagi,
mengadap-Mu.
Kali ini,
dengan air mata,
sebak tergenang,
di dada
.


Baha Zain

6 comments:

  1. Salam, Dato',
    Cantik sajak ini walaupun seingat saya, saya tidak pernah beroleh kemasyhuran. Allah mengetahui sebab-musababnya. Entah-entah saya akan menjadi riyak dek kemasyhuran itu.

    ReplyDelete
  2. Salam Sdr Zul,
    Seboleh mungkin penyair harus mengucapkan puisi sebagai kata hati yang sebenarnya. Kemuliaan dan darjat yang sebenarnya adalah di mata Tuhan: bertakwa kepadaNya. Inilah yang abadi, dan yang lain itu dugaan hidup di dunia yang boleh merusakkan melalui riak dan membesarkan diri.Lebih-lebih lagi yang sengaja diburu untuk kepentingan diri sendiri.

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum Dato'
    sejak saya menatap sajak-sajak dan rajutan kata-kata indah hasil karya Dato', saya cetak dan print dijadikan buku kreatif. terima kasih. (Ajilah .Kelantan)

    ReplyDelete
  4. Assalamulalikum Sdr Ajilah,
    Terima Kasih jua. Persilakan!

    ReplyDelete
  5. salam dato',

    salam perkenalan dari saya. sajak ini mengingatkan saya kepada kawan saya - seorang usahawan. sebagai penyair, dato zahirkan apa yang dirasa di hati dan jiwa dato' melalui sajak atau karya lainnya.
    sebagainya usahawan, kawan saya menzahirkan perasaannya dalam bentuk perniagaan. begitu setiap kita diberikan bakat dan kepekaan tersendiri.

    ReplyDelete
  6. Salam Dato' Baha Zain,
    Sejak pemergian Allahyarham T.Alias Taib (Alfatiha),sahabat rapat, semasa saya sambung belajar di UKM dahulu tatkala Allahyarham menjawat karyawan tamu maka agak kurang saya mendekati teman-teman penulis dan segala kegiatan.Mungkin saya sibuk dengan studi,NGO dan kerjaya. Tetapi menjelang 2010 saya kembali merindui dunia penulisan yang telah saya rintisi sejak penghujung 1970-an.Saya tidak boleh menidakkan rasa jauh di sanubari.Justeru saya kagum dengan ketajaman minda Dato' melontarkan idea yang kritis,bernas dan analitis.Saya berdoa agar Dato' dikurniakan llahi sihat walafiat dan terus menerus berkarya.Saya kini telah pulang ke tanah air.Wallahualam,jika ada rezeki lagi saya berkelana lagi di rantau orang.Salam ukhuwah Dato' Baha Zain yang baik hati,yang pernah saya dekati.Doa saya agar Dato' dan keluarga dilindungi-Nya.Selamat menyambut Ramadan 1432H.

    Rajiee Hadi,Dr.
    Emel:dr_rajieehadi@yahoo.com
    tiubbocor@blogspot.com

    ReplyDelete