Saturday 25 June 2011

KESABARAN SENIMAN

Saudara seorang yang berbakat. Barangkali memiliki kebolehan besar untuk melukis, bermain piano, menari, menyanyi atau apa saja kesenian. Sering dirangsang oleh sesuatu sehingga emosi saudara sangat ingin untuk mengucapkan diri dalam bentuk kesenian: lukisan, muzik, tulisan, arca, tarian dan sebagainya. Dorongan dari dalam diri untuk berkarya kerana cinta, sedih, rindu, sepi malahan marah dan benci juga, adalah gesaan yang tulen, sejati dan semula jadi. Didiklah emosi itu ke arah pengucapan yang jujur, tetapi bukan digesa oleh tujuan untuk mendapat hadiah, kemasyhuran, pengiktirafan atau nama . Kepalsuan matlamat ini tidak akan menjadikan karya saudara bertahan lama, dan tidak akan menjadikan saudara seorang seniman yang tulen serta jujur. Ingatlah bakat itu adalah amanah Tuhan. Untuk apa? Untuk mengucapkan kebenaran-Nya. Ya, kalau saudara kebetulan diberi hadiah, tidak mengapa, bersyukurlah. Tetapi selalu bersabarlah mengendalikan rangsangan yang mengesa-gesa saudara untuk mencipta, teruskan asal jangan terburu-buru untuk menerbitkannya.

Demikianlah kira-kira nasihat seorang penyair besar Jerman, Rainer Maria Rilke, yang melahirkan era baru dalam perkembangan sastera Jerman pada awal abad lalu. Begini ujar Rilke:

" Dalam hal ini tak ada soal tentang ukuran waktu. Satu tahun tak kira; sepuluh tahun tak apa-apa. Untuk menjadi seniman jangan mengira waktu; maknanya ia harus matang seperti pohon, yang tak memaksa getahnya, tetapi berdiri tegap dalam ribut musim bunga tanpa bimbang apakah musim panas akan datang. Ia akan datang juga. Tetapi ia hanya akan datang kepada mereka yang hidup sabar seolah-olah keabadian terbentang di depan, diam sepi tanpa hujungnya. Saya mempelajarinya setiap hari, belajar dengan pedih, tetapi saya bersyukur: Kesabaran adalah segala-galanya. "

3 comments:

  1. Ini pengajaran bermakna buat saya. Wlau telah selalu diperingatkan dalam diri oleh diri sendiri dan dengan kesedaran sendiri, perulangan peringatan seperti menyiram bunga yang sentiasa tersejat kekeringan. Bukan mudah mendidik hati agar sentiasa jujur dengan diri dan tindakan. Terima kasih, Dato'.

    ReplyDelete
  2. Sdr Saleeh,
    Hati itu Raja. Sampai tua pun kita mesti selalu memujuk hati supaya bersabar,mendidik hati supaya menyukai orang dan berbuat buat kepada masyarakat.Hanya demikian barulah hati boleh BERSIH. Nabi SAW pun sebelum berangkat semasa Isra' Mi'raj dibersihkan dahulu hatinya oleh malaikat. Apatah lagi kita kalau mahu disayangi dan dimuliakn oleh Tuhan.Sdr masih muda; terbentang luas alam dan peluang . Belajarlah bersabar dengan keluarga dan sahabat handai. Tuhan akan memuliakan sdr dengan cara-Nya yang tak kita ketahui bagaimana.

    ReplyDelete
  3. Sabar yang tulus menjana pahala yang bertimbun

    ReplyDelete