MASYARAKAT dikejutkan dengan banyak krisis akhir-akhir ini. Sepanjang setahun yang lalu rentetan tiga tragedi besar pesawat udara mengurbankan ratusan jiwa; dan tahun 2015 dimulai dengan banjir besar yang luar biasa, bencana yang dideritai ribuan rakyat. Yang paling terpukul ialah penduduk Melayu/bumiputera yang keadaan ekonominya memang lebih mundur daripada kaum lain.
Dengan bencana banjir ini mangsa yang ditimpa kemalangan menjadi lebih merosot ekonominya apabila harta benda yang ada musnah, dan untuk mengumpul semuanya itu lagi akan memakan waktu bertahun-tahun lamanya . Faktor ketidakadilan ekonomi yang sedia menjarakkan keadilan sosial antara Bumiputera dengan bukan Bumiputera menjadi lebih parah dan terus berpanjangan.
Cendekiawan, seniman dan penulis nampaknya perlu kembali kepada nilai-nilai perjuangan yang memihak kepada "Seni untuk Rakyat dan Negara", yakni menilai apakah sekalian kegiatan kesenian itu ada gunanya kepada kepentingan utama bangsa, khususnya membangunkan fikiran kritis , kreatif dan progresif di kalangan masyarakat.
Seniman perlu menaksir atau menilai apakah persekitarannya: alam, agensi awam, pemimpin pelbagai lapangan, NGO dan lain-lain bergiat untuk kesejahteraan alam, sosial dan negara pada umumnya ( bukan untuk kepuasan diri, puak dan organisasi masing-masing sahaja).
Para penulis perlu meneliti alam persekitaran dan kehidupan di dalamnya kerana dari situlah penulis menimba ilham, pengajaran dan malahan tanda serta isyarat tentang kedurjanaan manusia terhadap manusia lain. Khususnya bagi kita di Malaysia antara negara-negara di tropika yang Allah limpahkan dengan hutan rimba yang luar biasa kayanya dengan biodiversiti, air hujan yang banyak, kayu kayan dan makhluk hidup yang beraneka ragam (jangan lupa gas dan minyak yang terpendam),tetapi kenapakah telah berlaku ketidakcukupan air bersih , penggondolan muka bumi, pencurian minyak disel, dan kemiskinan yang meluas di negeri-negeri tertentu, dan di daerah-daerah luar bandar. Di mana salahnya.
Kenapa masih tidak terselesaikan kesenjangan peratus pemilikan hartanah, pemilikan syer korporat, pendapatan dan kedudukan profesional antara Bumiputera dengan bukan Bumiputera? Barangkali statistik di tangan saya sudah banyak berubah ke arah kemajuan. Mudah-mudah begitulah.
Kita tidak boleh menyalahkan orang lain sedangkan sekalian pusat kekuasaan pemerintahan negara, pentadbiran, politik, ketenteraan, perundangan yang penting itu berada dalam genggaman tangan Bumiputera. Aneh!
Ada sesuatu yang tak kena dalam kebudayaan, nilai-nilai, mental , sikap dan fikiran masyarakat Melayu kita. Inilah yang harus menjadi cabaran ; dan inilah isu yang perlu dibangkitkan semula setelah kita - terutama para seniman - hanyut demikian jauhnya.
Sesudah sekalian malapetaka dan bencana itu, ini adalah saat untuk bermuhasabah dan menilai kesenimanan kita.
As-Salam, Dato',
ReplyDeleteYang jelas nyata, banjir besar ini menampakkan kelemahan pihak pemerintah, baik peringkat negeri mahupun Persekutuan. Mereka lebih banyak memberikan tumpuan kepada bantuan selepas peristiwa, bukan semasa peristiwa.
Dan bencana ini memberikan keuntungan lain pula kepada tauke beras, minyak kelapa, dll.
Pernah saya coretkan di FB saya, selepas bertahun-tahun banjir demi banjir berlaku di PT, tetapi hingga saat ini sebuah bangunan khas pun yang dapat menampung mangsa banjir tidakterbina oleh mereka. Apalah salahnya disediakan suatu kawasan untuk pembinaan bangunan ini di setiap daerah dan jajahan supaya apabila berlaku banjir, tidaklah bangunan sekolah "diusikkacau".
Dua buah kenderaan amphicoach yang dibeli oleh kerajaan Terengganu yang kononnya dapat digunakan saat banjir, tidak menampakkan fungsinya pun! Bukankah lebih baik duit jutaan ringgit itu digiunakan untuk membina bangunan yang saya maksudkan itu?
Wallahu a'lam, Dato'.
Assalamualaikum Sdr Zul,
ReplyDeleteMohon maaf lamabat membalas
Semoga p[ihak berkuasa melakukan postmortem dan berfikir secara proaktif bagi menghadapi krisis masa depan. Bencana dan krisis nasional masa depan ,mnugkin lebih besar baik secara alamiah mahupun kedurjanaan manusia. Kita selalu terleka dalam kesenangan dan kamanan. Ini kelemahan bangsa kita..