Sunday 20 December 2009

Dari Petrtemuan ke Jenjang Pelamin/ Dari Jodoh Ke Cinta Takwa

Bagai kejadian di syurga,
Bagai kerinduan di dunia,
Bagai pertemuan di Jabal Rahmah,
Kisah tersurat menjadi sejarah.
Bagai Adam dan Hawa,
Bagai lebah dan bunga,
Jodoh tersirat menjadi nyata.

Perkahwinan adalah bahtera yang sakti,
Belayar dari tanjung ke tanjung,
Dari teluk ke teluk, dari pulau ke pulau,
Dilambung ombak, gelora dan badai,
Dimandi sinar, didinginkan gerimis dan angin.
Datanglah seribu fajar dan senja !
Datanglah seribu duka dan duga!
Kami berdiri tegak di depan-MU,
Cinta dan takwa menjadi nakhoda.

Rumah tangga adalah pelabuhan,
Di situ bermulanya zaman depan,
Generasi pedagang, ilmuwan dan pejuang,
Di situlah juga terhimpunnya amanah,
Tanggungjawab dan hati nurani,
Pengorbanan dan tugas suami isteri.

Belayarlah dalam pengembaraan yang panjang,
Seperti kata peribahasa:gigi dan lidah lagi tergigit,
Inikan pula suami isteri.

Seperti kata pantun Melayu:
Terbang unggas di pohon mempelam
Bunga senduduk berwarna ungu;
Yang melukakan jangan dipendam
Yang ceria dibelai selalu.
Banyak belanak berenang ke kuala
Hanya seekor dapat dijala;
Anak cucu anugerah di dunia
Doa yang soleh sampai ke syurga.

Sudahi Bismillah dengan selawat
Sudahi zakat dengan haji;
Bina keluarga ikut syariat
Hidup berkat suami isteri.

Demikianlah ada suatu jiwa bersendirian,
Dan suatu lagi yang kesepian,
Bercantum jadi satu,
Seperti daun di dahan,
Dan pantai dengan lautan.

Baha Zain
3 Muharam 1431/20 Disember 2009.

3 comments:

  1. pelabuhan sepi itu
    tiada nakhoda berani singgah
    gusar kengeriannya terbawa sama
    sepanjang pelayaran
    membunuh waktu
    takut rindu
    dihela oleh setiap pelayarnya
    kepada harumnya rambutmu.

    ReplyDelete
  2. setiap pelayar yang berpengalaman tidak boleh berlama-lama di pelabuhan. Dia belayar dari satu pulau ke lain pelabuhan yang sememangnya lebih menakutkannya daripada lautan.Lautan hanya menuntut keberanian dan kecekalan, tetapi di daratan hatinya bisa tertinggal dan menyiksanya dalam kerinduan.Metafora yang bakal mengilhamkan puisi yang indah. Teruskan mencipta dalam bahasa ibunda.

    ReplyDelete
  3. andai akad adalah klimaks
    harapnya pelamin bukan pengakhiran

    kerana cinta
    perlu dirai
    sampai nisan
    berdiri senget

    ReplyDelete