Wednesday, 27 January 2010

KALAU SEPATU BOLEH BERSUARA MANUSIA MENDENGAR KEAJAIBAN DUNIA

kasut oh! kasut,
sejak bila kau dipanggil kasut,
dan sejak bila Malayia memakai kasut?

Ini adalah gambar yang sedikit aneh. Berpasang-pasang kasut disusun dan digambar secara terlanjang, tanpa pemakainya. Apakah yang diceritakan oleh gambar ini, dan apa tujuan penyusunnya? Setiap gambar namun mempunyai bahasanya; dan tidak sama dimengertikan oleh penontonnya.

Orang tahu hanya satu: kasut untuk menjadi lapik tapak kaki bagi tujuan memelihara kaki sewaktu berjalan. Kasut telah memperkembangkan falsafahnya lebih daripada hanya sekadar lapik tapak kaki. Kasut telah beratus-ratus tahun menjelma dalam pelbagai wajah di tengah ladang pertanian, di tengah hutan, di medan perang, di bilik kuliah universiti, di atas permaidani istana, di lantai-lantai parlimen, dan di atas lantai marmar gereja ( kecuali di lantai marmar masjid ). Kalau kasut boleh bercakap ia akan menceritakan pengalamannya masuk ke kamar-kamar pelacur, ke bilik-bilik judi, ke bilik tali gantung, ke bilik soal siasat rahsia, dan ke rumah-rumah gerakan pemberontak . Kasut-kasut di atas diam membisu dlm satu
bingkai gambar empat segi yang biasa. Gambar hitam putih atau berwarna selalu neutral dan tidak memihak , baik kepada subjek gambar mahupun kepada penatapnya. Gambar adalah sebuah pernyataan yang pendiam meskipun memendam
keajaiban.

Penatapnya barangkali seorang professor, mubaligh atau seorang kanak-kanak perempuan tadika. Sedarkah dia bahawa berapa ribuan lembu, kambing, ular dan buaya telah dibunuh dan digunakan kulitnya untuk mencipta kasut yang pelbagai fesyen? Pembunuhan ini menjadi perlu untuk memenuhi matlamat keuntungan industri, selera estetik manusia, dan memuaskan keghairahannya terhadap simbol status yang terhormat di mata masyarakat. Bolehkah kita anggap kejadian seperti ini sebagai kitar semula alam dalam gagasan teknologi hijau?

Apa yang saya beberkan di sini sekilas pandang sebagai remeh saja. Betulkah begitu? Mungkin juga betul. Tidak ! setiap gambar ada bahasa anggotanya atau body language tersendiri. Ada makna budayanya , dan marilah kita cari pengertian dan pertalian budaya itu kerana setiap hari siang dan malam kita diperguk ( mahu tidak mahu) oleh gambaran-gambaran, imej dan citra di dalam dan di luar rumah. Kita sedang dikepung oleh bayangan, maya dan gambaran dan boleh luluh di dalam dakapannya yang mengasyikkan.

Tentulah saudara sendiri seronok melihat wajah dan peribadi anda di dalam gambar , terutama kalau terbit di akhbar atau majalah;tidak kira sama ada akhbar atau majalah itu akhirnya akan sampai kepada hujung hayatnya menjadi pembungkus barang jualan seludup di lorong belakang Jalan Chow Kit atau Petaling Street.

1 comment:

  1. manusia sangat memerlukan sepatu
    dalam melatam hidup..

    ReplyDelete