Tuesday 16 February 2010

DEMI WAKTU BUNGA BERKEMBANG atau MENYEBARKAN BAU

Bunga Kembang Pagi


Apakah sebabnya bunga-bunga ini mulai mengembang pada sebelah pagi sekitar jam 8.00; dan saat tiba tengah hari sekitar jam 1.00 semuanya menguncup kembali? Aneh! seolah-olah ia meraikan siraman cahaya pagi, menyerikan pemandangan agar manusia melihat dunia dan kehidupan dengan penuh ceria dan optimis. Ada yang menamakannya dalam bahasa Inggeris sebagai "Eight O'clock Flowers" kerana mengigatkan faktor waktu lebih daripada faktor cahaya.
Bunga "Sundal Malam" pula yang juga berwarna putih kekuningan
akan hanya berbau sangat wangi sesudah terbenamnya matahari, yakni sesudah hilangnya cahaya dan hari menjadi gelap. Tidak kurang anehnya, seolah-olah ia menyegarkan sanubari manusia supaya duduk tafakur dan bersyukur kerana telah selamat mencari rezeki sehari suntuk dalam keringat dan jerih payah.
Apakah cahaya mempunyai peranan yang besar membangkitkan kejadian alam semula jadi ini?
Apakah rahsia yang sebenarnya? Betullah sebagai yang sering diperingatkan bahawa semua tanda-tanda alam itu adalah bayangan daripada zat dan kudrat Allah yang sangat cinta kepada kita semua sehingga pohon-pohon dan bunga-bunganya pun turut menceria dan memperkaya
mata serta sanubari makhluk yang sering sibuk di kulit bumi-Nya.
" Tak ada waktu untuk bertanya,
Merenung dan menyendiri,
Menyepi dan menyelam ke dalam hati,
Di manakah aku sekarang ini?

6 comments:

  1. Dato' sedang berada di tengah halaman beraneka bunga dengan seribu haruman dari segenap arah serta disirami embun putih sambil merenung jernih langit dan merasa basah tanah lalu memikirkan penciptanya. Syukur kerana ada ingatan begitu sewaktu menikmati usia ini.

    ReplyDelete
  2. Sdr Saleeh,
    Apa lagi yang hendak dicari pada sisa-sisa usia yang entah beberapa hari sahaja lagi. Itulah nikmatnya apabila sudah sampai di hujung jalan, kehidupan telah membebaskan dia daripada impian kemasyhuran yang selalu diburu oleh orang muda.Tetapi jangan menjadi spt orang tua sewaktu lagi masih muda.

    ReplyDelete
  3. assalamualaikum Dato'..
    saya pelajar linguistik di UKM.sy ingin bertanya tentang sajak Di kota kecilku..sy menjadikan sajak tersebut sebagai tugasan sy dalam subjek stilistik..soalan:durian sebatang tu nama tempat ke?padang speedy tu terdapat dalam kwsn kota kecil(sekolah)atau di luar?

    ReplyDelete
  4. waalaikumussalam..
    dato,satu lagi pertanyaan saya..
    kenapa durian sebatang dan padang speedy ditulis dengan huruf kecil?

    ReplyDelete
  5. Assalamualaikum Sdr Ku Mom,
    Dalam peraturan penulisan yang baku nama tempat ditulis dengan huruf besar.Saya pun tak teringat kenapa saya menulisnya dengan huruf kecil. Barangkali saya menggunakan kebebasan puitik (poetic license), atau memang bila kita menyebut dengan lidah nama-nama tempat kita tak mempedulikan bentuk visual itu. Itulah juga anehnya penulisan puisi agaknya, lebih mirip kepada kata hati, bukan pada norma penulisan.

    ReplyDelete
  6. waalaikumusalam..maafkan sy jika pertanyaan sy itu melampaui batas..sy ucapkan ribuan terima kasih krn Dato' sudi menjawab semua pertanyaan sy..maaf sekali lagi krn telah menyusahkan Dato' untuk menjawab pertanyaan sy itu

    ReplyDelete