Wednesday, 19 May 2010

DOA MULUS SEORANG PUTERI

" Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan dan menginaya dirinya, kemudian dia memohon ampun kepada Allah, niscaya dia mendapati Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang"-
(An Nisaa':110 )

Seperti terbit fajar di timur,
Hening, dingin, putih dan bersih,
Engkau dan aku para kekasih,
Seperti Adam dan Hawa, di bumi manusia,
Tanah tempat kita bercinta, dan menyemai benih amanah-Nya.

Engkau lelaki perkasa, tangkas, tegas dan berani,
Engkau adalah wira, memerangi kezaliman, menegakkan keadilan,
Kami wanita sabar, setia dan percaya:
Apabila engkau di medan, bersilang senjata di depan kengerian,
Kami di belakang melindungi anak-anak, berdoa dan berkorban.

Antara kita, engkau dan aku , sama, namun berbeza:
Engkau bernama lelaki, dan kami tetap perempuan,
Seperti sepasang cenderawasih terbang tinggi di awan,
Seperti sepasang merak melata di hutan,
Lelaki adalah pelindung, pengasih dan penyayang,
Perempuan yang lembut, selalu mulus dalam kepercayaan.

Ini adalah bumi tanah air kita, Malaysia yang sedang memaknakan martabatnya, tetapi
Apakah ertinya kemanusiaan kalau yang lemah sering digigit keganasan?
Apakah ertinya kemerdekaan apabila wanitanya masih dibelit penindasan?
Jadi barang daganagan dan permainan naluri bangsa bernama lelaki:
Habis manis sepah dibuang;
Bayi tak berdosa, matanya masih tak terbuka, dilempar ke jalan-jalan.

Di manakah kata-kata, janji dan maruah?
Di manakah rumah, bumbung, dan pagar tempat berlindung ?
Seperti terbukti benarnya peribahasa Melayu:
Harapkan pagar, pagar makan padi,
Bagai haiwan, miskin akal dan budi.

Ini tanah air, bumi bangsa yang dimandikan air di sekeliling pantainya,
Didingini hujan dan dilindungi awan gemawan sepanjang tahun,
Terlimpah rahmat , ilmu, dan hikmah tak terhitung,
Sujudlah engkau , lelaki dan perempuan, dalam sunah dan firman-Nya,
Demi Tuhan, Dia tidak mungkir janji, dan tepat dengan perhitungan.

Pimpinlah tangan kami ke bukit yang tinggi,
Seperti Adam dan Hawa di Jabal Rahmah,
Dengan taubat, keampunan dan amanah:
Mencipta zaman baru, kehidupan yang berubah;
Membangunkan keadilan, umat yang bermaruah.


BAHA ZAIN

[ puisi ini baru diterbitkan dalam buku Lelaki Pelindung Wanita : Sebuah Trilogi (Hormati, Lindungi dan Bahagiakan Wanita), susunan Ir. Endok Sempo M Tahir, terbitan Wanita Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia, 2010)

4 comments:

  1. Amat terkesan puisi yang Dato' sertakan. Bagaimana kalau saya ingin miliki buku trilogi-Lelaki Pelindung Wanita tersebut. ?

    ReplyDelete
  2. salam dato'
    membaca puisimu..

    ReplyDelete
  3. Salam Dato'

    Tidak akan berakhir

    ReplyDelete
  4. Assalamualaikum Sdr Ajilah,
    Untuk makluman sdr bolehlah berhubung dengan alamat di bawah. Dalam buku yang sama ada rencana2/artikel yg lain juga.

    Wanita Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia,
    No. 303.3, Lorong Selangor,
    Pusat Bandar Melawati,
    52100 K .Lumpur.
    Tel. 03-4108 9669; Fax: 03-4107 1754.
    www.jim.org.my

    ReplyDelete