Friday, 11 June 2010

SESUDAH TENGAH MALAM


Malam sudah kuyup gelap,
tatkala mimpi meredakan dengkur,
tatakala dia akan bangun,
senyap-senyap membersihkan diri,
seperti pada malam-malam lain,
berdiri menyatu,
seperti air tenang .
Sepi.

Dia keseorangan di situ,
seperti kelasi keseorangan di tengah segara.
tiada apa-apa lagi,
kecuali kata-kata yang mati,
berkubur dalam hati,
menjadi doa terakhir,
penghabisan kali.

"Bayangkan seorang demagog rukuk di kamar dengan pintu tertutup sedang
pistolnya terletak rapi di sisi".

Dia hanya memiliki kesetiaan malam,
malam yang setiap malam mendakapnya,
mendengar segala pengaduan dengan tekun,
tanpa berkata apa-apa kepadanya,
tetapi dia masih percaya,
ini waktu yang tak berbohong dengan segala jenis manusia,
tidak seperti siang yang kemilau,
tatkala keindahan dan kata-kata menjadi raja.

"Bayangkan seseorang yang berdiri di kiri kanan dengan tersenyum sedang belati terselit di belakang"

Tidak semua dapat dibayangkan,
Seperti Tun Teja tidak menyangka,
Rindunya kepada Tuah bertukar bisa,
Menista cintanya di kaki Raja.

Ah! Bagaimana seorang pahlawan,
yang bersumpah melindungi kerajaan,
membunuh seorang perempuan,
yang tak berdosa; yang selalu mendoakannya.

Baha Zain

5 comments:

  1. Salam Dato Baha,
    Lama rasanya saya tidak duduk semeja dengan Dato'. Membaca puisi-puisi Dato' seakan membawa saya jauhn ke negeri keindahan. Kesentosaan dan kedamaian yang bersatu di dalam keharmonian akal benar-benar menyedarkan.
    Demikianlah, apabila kita sudah mula mengenal takrif hikmah yang terbit dari jernih akal, makanya kita sentiasa terasa dikejar dosa masa lalu. Untuk mempercayai atau menidakkannya kita kadang-kala terasa takut yang amat sangat. Seperti Al-Ghazali dan Khaldum menyusun kata-kata, begitu jugalah kita yang sedang mencari kata-kata dalam kenangan dan pengalaman masa lalu.
    Salam rindu.

    ReplyDelete
  2. Assalamualikum Sdr Sham,
    Sdr tentu lebih sibuk. Kata orang sesiapa yang berasa sibuk selalu bererti dia orang modern yg selalu mengisi waktu.Kalau masih lagi muda mengingat dosa, ah! alangkah bertuahnya.Kalau lagi tua tak mengingat dosa, aduh! betapa sialnya. Chairil mahu hidup 1000 tahun lagi, tetapi akhirnya dia berkata: ke pintumu aku mengetuk.Puisi tidak sunyi mengandungi magik mengajak penyair ke pintu
    pengampunan sewaktu gelap malam yg menghening.

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum, pak baha...

    terkesima saya dibuatnya. saya tercabar kala membacanya. aduh. apa pendapat Pak Baha tentang hal ini:-


    -Tanah Sekangkang Di Kota Batu-


    Tanah sekangkang

    di celah kota batu itu

    Mengundang seribu makna

    Jauh-jauh mata memandang

    Sejarah tersirat tak tersingkap

    Rahsia bersama bukti mahu dikuburkan

    Bersemadilah luka bangsa sendirian

    Di sini; Sambil mata menatap langit

    cuba melakar mimpi suram yang tak pasti

    Sayup-sayup kedengaran jeritan

    datang dari celah kota batu

    berangkat ke tengah

    lalu dimusnahkan

    dek mereka yang mencintai

    Kemajuan; sehingga geran di tangan

    ... sanggup digadaikan!

    ----------------------------

    saya berasa sungguh sedih semasa menulis puisi ini, Pak. saya cukup sedih

    ReplyDelete
  4. Salam Sdr Ampuan,
    Kuasa yang ada pada kita hanya suara kata dan bahasa. Itupun lebih banyak menyuarakan kesedihan tentang nasib sejarah yg semakin luka. Namun itu pun sebahagian daripada iman, kecil sekalipun , untuk menentang ketidakadilan. Teruskan menulis kerana puisi yang baik tetap lahir daripada emosi yang sejati di hti.

    ReplyDelete
  5. Salam Pak Baha, saya perlukan pencerahan bagi bait-bait ini. istimewa saya lakarkan buat bangsa:

    -Sajak Ikatan Bangsa Merdeka-

    Andai bangsa kita ini datang berbutir bak bebiji tasbih
    Aku mengharapkan ada kekukukuhan pada bebutirnya

    Andai bangsa kita ini kuat bak tetali jut
    Aku mengharapkan ada kekuatan pada ikatannya

    Akan tetapi,
    perasaan khuatirku memuncak
    sebaik sahaja memandang kembali
    akan kekukuhan serta kekuatan
    yang ada pada diri bangsaku
    kian rapuh
    malah kini saling bergocoh
    hampir sahaja mahu berkerambit
    berbunuhan sesama sendiri
    Imejan yang terpancar
    dari biasan cahaya
    pada dinding itu
    menyatakan
    bahawa
    kita
    bakal menanti
    untuk dilenyapkan
    Apakah kita mahu berlaku sedemikian
    atas kehendak diri sendiri kita beralas alasan
    Apakah kepekaan diri kita hilang akibat terlalu perasan
    dan tiada menyangka bumi tercinta ini
    bakal lenyap kerana telah diperjudikan
    Dilapah maruah bangsa sehingga ke tulang sulbi
    Lalu kini, apalah yang tinggal lagi?
    Isi negara sudah bertukar ke sisi
    semakin susut dari hari ke hari
    Dari nilai majoriti telah beralih
    turun menjadi minoriti!


    p/s: Pak Baha bisa menatapnya di laman saya di:

    http://puisikabur.blogspot.com/2010/07/keris-pengertian-dari-perkataannya.html

    ReplyDelete