Friday 5 November 2010

MENCARI TEMA UNTUK PUISI

Puisi boleh sahaja tentang apa saja, daripada kesaktian cahaya di langit sehinggalah kepada perasaan gelap dan rusuh di dalam hati. Tema atau persoalan puisi boleh difikirkan atau mungkin tiba-tiba datang tanpa diduga seperti kerinduan atau keceriaan di sanubari.

Pada suatu subuh dini, rintik-rintik hujan membangunkan daripada tidur lena. Tak ada apa-apa lain yang kedengaran kecuali bunyi halus yang gugur di bumbung dan bumi . Subuh itu tiba-tiba terasa sangatlah jernih dan bersih dalam perasaan; membersihkan fikiran daripada kenyataan harian yang membelenggu diri dengan masalah kehidupan. Sesungguhnya ada dunia lain yang jernih bening selain daripada yang nyata setiap pagi dan petang. Lantas bagaimanakah hendak diungkapkan tema besar itu dalam sebuah wadah puisi yang kemas dan comel?

hujan subuh

Hujan turun

titik

titik

berhimpun

membasahi lidah

memuji

maha suci.


Bernyanyi burung

membawa cahaya

awal pagi.



baha zain

3 comments:

  1. Assalamualaikum, Pak Baha

    Adapun bagi saya, puisi itu suatu yang abstrak dan sukar sekali untuk kita terjemahkan. kadang ia mampu difahami dan kadang ia langsung tak difahami; malah ada yang pula yang tak masuk di akal langsung!

    namun apapun perkiraannya, pasti ia menuju tempat yang sama. mungkin saja kita tidak bisa faham, dan sebaliknya pula mudah benar faham dengan kekata yang kita luah melalui puisi itu tadi.

    karya bapak memang mantap. sebagai anak muda, bapaklah antara watak yang wajar amat diteladani. dan kini saya cuba meniti jejalan dengan teliti, bersama sekalian ilham yang saya kutip dari haluan kanan dan juga kiri.

    terima kasih, bapak

    ReplyDelete
  2. sudah lama dinantikan enteri dari Pah Baha...^_^

    ReplyDelete
  3. Sebenarnya ada rasa yang berseni, ada rindu yang mendayu, ada nostalgia mengimbau, ada sedar yang terserap dan indahnya ada takut dan harap menuju terbitnya HARI ABADI- bersama bunyi titik-titik hujan Subuh yang hening dingin dan decit burung pagi. Terima kasih Dato' merajut kata-kata yang menyegarkan lagi menyedarkan. (Hajilah)

    ReplyDelete