Wednesday 4 May 2011

Berdirilah di Pusaraku & Jangan Menangis

Seperti yang dijanjikan pada paparan lalu diterjemahkan puisi pengarang yang tak bernama.
Saya menterjemahkan secara bebas kerana tak mungkin mempertahankan keaslian rima bunyi asalnya : weep/sleep; blow/snow; grain/rain; hush/rush; flight/night; cry/die yang sedap dibaca bersama muzik bahasanya.

Apa pun jua yang penting ialah semangat serta tujuan puisi ini yang hendak menyatakan bahawa penyairnya berpesan lupakanlah dirinya dan di mana dia bersemadi kerana sewaktu dia hidup dia hanya ingin berbakti (spt angin, permata, hujan gerimis, bintang, dan musim) tanpa minta disanjung, diberi ganjaran malahan ditangisi. Anggaplah di pusara itu tidak ada jenazahnya, seolah-olah dia tidak mati. Janganlah bersedih dan meratap. Aduh! alangkah luar biasa dan mulianya keikhlasan bakti seorang yang bernama penyair:



Jangan berdiri di sisi pusaraku dan menangis;
Aku tidak berada di situ. Aku tidak tidur.
Aku seribu bayu yang menderu.
Aku intan berkilauan di salju.
Aku cahaya mentari di bijiran ranum.
Aku gerimis lembut musim gugur.
Apabila engkau terjaga di pagi sepi
Akulah yang membangunkan tergesa-gesa
Burung-burung terbang berlegaran di udara.
Akulah bintang mesra bergemerlapan tatkala malam
Janganlah berdiri di sisi pusaraku dan menangis;
Aku tiada di sana. Aku tidak mati pula.

NB:Barangkali saudara boleh memperbaiki terjemahan di atas supaya lebih tepat dan memikat.

5 comments:

  1. salam, pak,

    siapakah gerangan penyair yang tak bernama itu agaknya ya? menarik sungguh

    ReplyDelete
  2. Salam hormat. Sy mohon izin utk berkongsi puisi ini (juga terjemahannya) di dinding Facebook saya.

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum Sdr Ampuan Awang,
    Anggaplah dia sebagai ramai penyair lain yang telah meanaburkan keindahan puisi untuk memperkaya rasa kemanusiaan yang besar meskipun tak dikenali namanya.Itulah sikap kepenyairan yg sangat hebat.

    Sdr Azlina,
    Dipersilakan.

    ReplyDelete
  4. Assalammualaikum Datuk,

    Saya Khairul dari Sasbadi. Kami ada terbit buku Pak Latiff Mohidin, Catatan Latiff Mohidin. Beliau amanahkan kami untuk menyerahkan senaskhah kepada Datuk. Mohon jasa baik Datuk smskan alamat ke emel saya: aisyam@yahoo.com

    ReplyDelete
  5. maaf, Datuk,
    saya berkongsi tentang sajak ini di dinding fesbuk saya tanpa meminta izin daripada Datuk dahulu,... Saya terjemahkan juga sajak ini menurut kemampuan dan ilmu yang saya ada, dan ada sebahagian perkataan, saya ambil dari terjemahan Datuk. Mohon pendapatnya.

    Jangan berdiri di pusaraku dan meratap;
    Aku tiada di situ dan tiada tidur terlelap
    Aku seribu bayu menderu
    Aku intan berkilauan di salju
    Aku sinar mentari di ranum bijiran
    Aku gerimis lembut musim guguran
    Apabila di pagi sepi engkau terjaga
    Akulah gerak bangkit yang tergesa
    Antara legar beburung di langit
    Akulah bintang mesra mengenyit
    Jangan berdiri di pusaraku dan meratap:
    Aku tiada di situ. Aku tidak mati pula.

    ReplyDelete